PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatan berhubung isu rasuah berkait dengan pengurusan e-waste dan sisa plastik membabitkan pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS itu telah diselesaikan dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk pertuduhan.
“SPRM sedang menunggu pelaksanaan pertuduhan oleh AGC terhadap kedua-dua pegawai kanan JAS berkenaan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah JAS telah dibentangkan pada 26 Feb, manakala bagi Timbalan Ketua Pengarah JAS pada 6 Mac.
Isu pengurusan e-waste dan sisa plastik merupakan antara cabaran yang telah lama dihadapi, khususnya di kawasan yang terkesan dengan aktiviti pelupusan dan pemprosesan yang tidak teratur.
“Aduan berkaitan pencemaran udara, air dan tanah turut memberikan kesan kepada kesejahteraan penduduk setempat, sekali gus menuntut tindakan bersepadu daripada pelbagai pihak termasuk agensi penguatkuasaan.
“Masalah e-waste dan sisa pepejal plastik sudah lama dihadapi oleh rakyat dan tidak dapat diselesaikan walaupun telah banyak aduan pencemaran. Akhirnya SPRM telah bertindak dengan menyiasat dan menahan mereka yang diamanahkan untuk melindungi alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Azam menegaskan bahawa sebarang elemen rasuah boleh memberikan implikasi yang lebih luas, termasuk kepada kelestarian alam sekitar serta kesihatan awam.
SPRM sebelum ini dilaporkan telah menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS bagi membantu siasatan kes berkaitan pengurusan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste).
SPRM telah mengetuai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Import Sisa Plastik dan E-Waste, yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Langkah utama yang diputuskan pasukan petugas khas ialah pengimportan e-waste diharamkan sepenuhnya dan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 mulai 4 Feb 2026.
Penubuhan pasukan petugas ini dibuat susulan penemuan serius berkaitan penyeludupan sisa elektronik, termasuk laporan ratusan kontena e-waste yang tersadai di pelabuhan dan berpotensi mencemarkan alam sekitar.
Pasukan petugas ini melibatkan 12 agensi termasuk JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial