AM

Terapi Tidur Enam Saat Berisiko Tinggi Ancam Nyawa - Pakar

26/03/2026 12:21 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Trend rawatan alternatif dikenali sebagai terapi “tidur enam saat” yang tular di media sosial baru-baru ini berisiko tinggi membawa maut berikutan kaedahnya yang memotong bekalan oksigen ke otak dengan sengaja.

Pakar Jantung Profesor Dr Sazzli Shahlan Kasim berkata pemerhatian beliau terhadap video tular mendapati pengamal terapi bertindak menekan salur darah arteri karotid di pangkal tengkuk pelanggan sehingga mengakibatkan bekalan darah dan oksigen ke otak terputus.

Pengarah Institut Kecemerlangan Penyelidikan dan Kemajuan Kardiovaskular (CARE Institute) Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata tindakan berkenaan menyebabkan otak menjadi lemas sehingga individu terbabit masuk ke peringkat hipoksia dan terus diserang sawan.

"Jadi, pesakit yang dilihat menggeletar dengan mata tertumpu ke atas sebelum 'terjaga' sebenarnya bukan sedang tidur sebaliknya mereka mengalami sawan," katanya kepada Bernama.

Dr Sazzli, yang juga bekas Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, berkata tekanan secara paksa pada salur darah akan turut menyebabkan denyutan nadi menjadi sangat perlahan malah berupaya membuatkan jantung terhenti untuk beberapa saat.

"Keadaan ini amat kritikal terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah jantung yang tidak didiagnosis atau tidak disedari... secara teorinya, jantung mungkin akan reset dan pesakit akan sedar semula... tetapi ini adalah perkara yang sangat bahaya.

“Sekiranya jantung mereka menggeletar dan gagal berdegup kembali, pesakit boleh mati kerana mereka tidak boleh diresusitasi dengan mudah, risiko untuk meninggal dunia adalah sehingga 50 peratus," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan terapi itu mampu mengurangkan masalah stres, hipertensi dan menyembuhkan masalah sukar tidur (insomnia), Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Profesor Madya Dr Aryati Ahmad pula berkata tiada hasil kajian yang membuktikan kaedah tersebut berkesan terhadap kesembuhan apa-apa penyakit.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan yang bertauliah dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebaik-baiknya, jangan mudah terperdaya dengan sebarang kaedah rawatan yang tular di media sosial, rujuklah kepada sumber dan kepakaran yang betul,” katanya.

Sementara itu, dalam respons kepada Bernama mengenai isu sama, KKM memaklumkan kaedah terapi “tidur enam saat” bukanlah amalan yang diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016.

"Amalan ini tidak selamat, tidak disokong bukti saintifik dan wajar dielakkan demi keselamatan orang awam... berdasarkan penilaian klinikal dan perspektif perubatan berasaskan bukti, tindakan ini bukanlah suatu intervensi terapeutik atau rawatan kesihatan yang sah.

"Ia juga melanggar prinsip teras penjagaan termasuk tidak memudaratkan dan persetujuan termaklum memandangkan pesakit terperdaya untuk mempercayai ini adalah 'tidur' dan memanipulasi kepercayaan orang ramai terhadap penjagaan kesihatan yang selamat dan berkesan," menurut KKM.

KKM juga menyatakan bahawa risiko komplikasi perubatan lain terhadap terapi itu termasuk strok, kecederaan arteri karotid, aritmia (gangguan irama jantung), hipoksia serebrum dan kecederaan otak kekal.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan