AM

Aduan Kaki Lipas Dalam Makanan: JKNPP Siasat, Periksa Restoran Terkenal - Exco

26/03/2026 06:36 PM

GEORGE TOWN, 26 Mac (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menjalankan siasatan di sebuah premis makanan terkenal di Lorong Pitt di sini, selepas menerima aduan penemuan menyerupai kaki lipas dalam hidangan daripada seorang pelanggan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan permis tersebut memuaskan dan telah menjalankan tindakan penambahbaikan walaupun terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki.

"Sehubungan itu, arahan pembetulan dan penambahbaikan telah dikeluarkan kepada pihak premis bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut telah menjalankan siasatan dan melaksanakan pemeriksaan ke atas premis berkenaan pada 16 Mac lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihak pengusaha turut diberikan pendidikan kesihatan yang merangkumi amalan kebersihan premis, pengendalian makanan yang selamat serta pematuhan kepada peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.

Gooi berkata JKNPP sentiasa komited dalam memastikan keselamatan makanan di Pulau Pinang berada pada tahap yang tinggi sementara tindakan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi melindungi kesihatan pengguna.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban A Kumaresan menerusi laman Facebooknya melahirkan kekecewaan apabila tiada tindakan pihak berkuasa seperti kompaun atau notis penutupan terhadap premis makanan susulan aduan penemuan kaki lipas dalam makanan yang dibuat oleh stafnya dua minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan