DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Ekoran Isyarat Konflik Asia Barat Bercanggah Jejas Sentimen

26/03/2026 08:12 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian pada Khamis, dengan indeks petunjuk pasaran susut 0.34 peratus memandangkan pelabur mengikuti rapat perkembangan Asia Barat di samping masih berhati-hati ekoran isyarat kian bercanggah dari Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengenai kemungkinan rundingan damai.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.79 mata kepada 1,710.89 daripada 1,716.68 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 2.78 mata lebih tinggi kepada 1,719.46 sebelum mencecah paras tertinggi 1,719.89 semasa awal dagangan.

Lingkungan pasaran adalah suram dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 568 berbanding 482 manakala 569 kaunter tidak berubah, 1,140 kaunter tidak didagangkan dan 77 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.0 bilion unit bernilai RM3.14 bilion daripada 2.90 bilion unit bernilai RM3.26 bilion semalam.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata dinamik harga minyak kekal sebagai penentu utama hala tuju pasaran.

Beliau berkata harga minyak mentah Brent susut kepada sekitar US$98 setong ketika sesi dagangan AS berikutan jangkaan kemungkinan berlaku keredaan konflik, sebelum melonjak kembali kepada kira-kira US$105 setong hari ini apabila risiko geopolitik memuncak semula.

“Walaupun Bursa ditutup rendah namun penurunan FBM KLCI masih terkawal dan kurangnya tekanan jualan secara menyeluruh.

“Penyusutan sederhana ini wajar ditafsirkan sebagai fasa pengukuhan susulan kenaikan semula pada sesi dagangan sebelum ini, bukannya perubahan muktamad ke arah kedudukan elak risiko. Pelabur kekal berhati-hati tetapi belum bersifat defensif, dengan pendirian pelaburan masih fleksibel dan sangat responsif terhadap perkembangan geopolitik,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras disokong dengan baik pada sekitar 1,710 dan dijangka bergerak dalam julat terhad dalam tempoh terdekat.

Ini kerana pelabur mengambil pendekatan berhati-hati susulan konflik geopolitik yang semakin meningkat serta petunjuk serantau yang lemah, katanya.

Beliau berkata walaupun laporan mengenai cadangan gencatan senjata mungkin memberi sedikit harapan namun ketidaktentuan masih tinggi, sekali gus minat risiko kekal hambar.

“Sehubungan itu, indeks itu kemungkinan berada dalam julat kecil, dengan risiko negatif muncul sekiranya sentimen luaran semakin buruk. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat 1,710 hingga 1,730 menjelang hujung minggu,” katanya.

Kalangan saham wajaran tinggi, Maybank kekal pada RM11.44, Public Bank susut 11 sen kepada RM4.82, CIMB turun lapan sen kepada RM7.81, Tenaga Nasional menguncup empat sen kepada RM14.38, manakala IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM9.02.

Antara saham paling aktif, Sunway Healthcare meningkat 17 sen kepada RM2.29, Zetrix AI turun satu sen kepada 74 sen, Dialog melonjak 23 sen kepada RM2.32, AirAsia X kurang lapan sen kepada RM1.16, dan Bumi Armada naik setengah sen kepada 32.5 sen.

Antara kaunter paling untung ialah Kuala Lumpur Kepong melonjak 54 sen kepada RM20.14, Petronas Chemicals menokok 34 sen kepada RM5.80, Petronas Dagangan naik 32 sen kepada RM21.92, Batu Kawan menokok 28 sen kepada RM19.88, dan Gas Malaysia meningkat 23 sen kepada RM5.67.

Bagi kaunter paling rugi, BLD Plantation merosot 20 sen kepada RM15.00, Gamuda dan Petronas Gas masing-masing turun 18 sen kepada RM3.98 dan RM17.62, manakala Hong Leong Financial susut 16 sen kepada RM19.40.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 turun 13.71 mata kepada 12,322.22, Indeks FBM Emas kurang 16.39 mata kepada 12,458.44, Indeks FBM 70 meningkat 102.70 mata kepada 17,066.46, Indeks FBM Emas Syariah naik 35.04 mata kepada 12,229.53, manakala Indeks FBM ACE kurang 15.54 mata kepada 4,354.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 139.48 mata kepada 20,430.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.60 mata kepada 182.72, Indeks Tenaga menokok 20.90 mata kepada 806.26, dan Indeks Perladangan bertambah 77.50 mata kepada 8,656.95.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.83 bilion unit bernilai RM2.90 bilion daripada 1.69 bilion unit bernilai RM3.02 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 893.33 juta unit bernilai RM126.61 juta daripada 964.64 juta unit bernilai RM139.07 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula naik kepada 277.72 juta unit bernilai RM113.46 juta daripada 249.04 juta unit bernilai RM91.93 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 196.98 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (239.74 juta), pembinaan (174.54 juta), teknologi (249.36 juta), perkhidmatan kewangan (55.26 juta), hartanah (143.44 juta), perladangan (57.44 juta), amanah pelaburan hartanah (40.26 juta), dana tertutup (84,600), tenaga (297.20 juta), penjagaan kesihatan (256.47 juta), telekomunikasi dan media (44.47 juta), pengangkutan dan logistik (36.20 juta), utiliti (42.06 juta), serta amanah perniagaan (1.18 juta).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan