PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan Majlis Penasihat Industri Antarabangsa (IIAC) peringkat tinggi bagi merangka strategi baharu dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan kemampanan kewangan untuk menghadapi dunia yang berubah dengan pantas.
Naib Canselor Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh berkata mesyuarat sulung majlis itu telah menghimpunkan 16 profesional terkemuka daripada sektor seperti semikonduktor, penjagaan kesihatan, kecerdasan buatan (AI), kewangan, ekonomi dan perdagangan, yang mewakili negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Singapura, Filipina dan Malaysia.
Beliau menyifatkan majlis itu sebagai platform strategik bagi memanfaatkan kepakaran global dan mempercepat reformasi yang diperlukan bagi memperkukuh daya tahan universiti, khususnya dalam menangani cabaran pembiayaan serta menyediakan graduan untuk kerjaya antarabangsa.
“Ini kali pertama UKM menubuhkan majlis seperti ini, yang menghimpunkan pakar dari seluruh dunia bagi memberikan input secara langsung untuk Pelan Strategik 2026-2030 kami.
“Kami bukan sahaja menumpukan kepada pengukuhan penyelidikan dan pendidikan, tetapi juga pembangunan modal insan yang berdaya tahan, kemajuan pendigitalan selain memastikan universiti kekal mampan dari segi kewangan dalam jangka panjang,” katanya pada sidang media selepas sesi pertama majlis itu, di sini hari ini.
Beliau berkata universiti perlu menyesuaikan dengan realiti baharu, termasuk pengurangan pergantungan kepada sumber pembiayaan tradisional dan keperluan mendesak untuk memanfaatkan inovasi secara komersial.
“Universiti hari ini tidak boleh bergantung semata-mata kepada pembiayaan kerajaan. Kita perlu meneroka aliran pendapatan baharu melalui pengkomersialan harta intelek, meneroka inisiatif modal dan pembiayaan orang ramai untuk menyokong kemampanan jangka panjang,” katanya.
Sufian berkata UKM juga sedang meneroka bidang baharu seperti AI prompting serta teknologi canggih, sambil memperkukuh infrastruktur digital dan fizikal bagi menyokong persekitaran pembelajaran dan penyelidikan moden.
UKM turut memperluas strategi capaian global untuk mempelbagaikan pasaran pelajar dan meluaskan jangkauan program ke wilayah-wilayah lain.
“Kami ingin meluaskan tarikan program ke wilayah baharu, termasuk Afrika Utara dan Timur seperti Kenya, Mesir dan Maghribi, sambil memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi di Amerika Latin,” katanya.
Beliau berkata peningkatan kebolehpasaran graduan kekal sebagai keutamaan majlis itu, dengan menyiapkan pelajar bukan sahaja untuk pasaran pekerjaan Malaysia tetapi juga peluang di seluruh dunia.
Sementara itu, ahli penasihat antarabangsa dari Costa Rica Dr Roberto Echandi berkata inisiatif ini menunjukkan kepimpinan Malaysia yang semakin berkembang dalam memupuk dialog akademik dan dasar global ketika kepesatan perubahan teknologi dan dinamika geopolitik.
“Dalam persekitaran globalisasi hari ini, universiti perlu bekerjasama rapat dengan industri dan pembuat dasar untuk mendepani gangguan teknologi dan transformasi ekonomi.
“Malaysia telah mencatat kemajuan luar biasa sepanjang beberapa dekad lepas, dan inisiatif seperti ini menunjukkan kekuatan kepimpinan dalam membina kerjasama global yang inklusif,” katanya.
IIAC menumpukan kepada usaha UKM membina perkongsian global dan membangunkan bakat yang siap sedia untuk mendepani masa hadapan ekonomi Malaysia.
Selain itu, ia memainkan peranan penting dalam memajukan misi UKM untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara melalui hubungan industri, inovasi dan pembangunan bakat global serta menyokong rangka strategik universiti, TEKAD 57 UKM 2026–2030, serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial