JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 173 Hektar Kebakaran Hutan Di Pekan Dipadamkan

26/03/2026 10:29 PM

KUANTAN, 26 Mac (Bernama) -- Lebih 173 hektar hutan tanah gambut yang terbakar di Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Pekan berjaya dipadamkan setakat 7 malam semalam. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata kebakaran sejak Isnin lepas, menjejaskan kira-kira 760 hektar daripada 2,000 hektar luas keseluruhan kawasan berkenaan.  

“Kerja memadamkan baki lebih 586 hektar sedang dijalankan dan antara cabaran dihadapi ialah kekangan akses ke lokasi kebakaran yang menyukarkan pergerakan jentera,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Beliau berkata bagi kebakaran ladang kelapa sawit di Kampung Jemeri, Kuala Rompin, yang bermula pada petang 23 Mac, lebih 18 hektar daripada 292 hektar kawasan terlibat telah dipadamkan.

“Bagi kes di Rompin dan Pekan, kita akan menggunakan kaedah pengeboman air menggunakan helikopter bagi mempercepat operasi pemadaman dengan permohonan pesawat telah dilakukan,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Salahuddin memaklumkan sebanyak 110 kes pembakaran terbuka telah direkodkan bermula 18 Mac hingga semalam dengan daerah Kuantan dan Pekan mencatatkan kekerapan kes. 

Beliau berkata kemuncak kes ialah semalam dengan bomba menerima 22 laporan dalam tempoh 24 jam, kebanyakannya melibatkan kawasan belukar di lokasi perumahan dan pinggir jalan raya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan