AM

Anwar, Prabowo Sepakat Tingkat Usaha Diplomasi Tangani Krisis Asia Barat

27/03/2026 07:41 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 27 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia sepakat mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik di Asia Barat, melindungi nyawa awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, sempena lawatan khas beliau ke negara itu hari ini.

“Pertemuan penuh makna bersama Presiden Prabowo hari ini membuka ruang konstruktif dalam mencari titik persamaan bagi menghadapi konflik Asia Barat yang kini menekan keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi dunia,” katanya dalam kenyataan.

Lawatan khas sehari itu menandakan kunjungan pertama Anwar ke Jakarta tahun ini atas undangan Prabowo, yang disampaikan semasa perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin pada 23 Mac lepas.

Anwar berkata dalam ketidaktentuan global yang kian meruncing, Malaysia dan Indonesia menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip bagi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, beliau berkata kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memastikan kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik, termasuk Selat Hormuz, tidak terjejas. 

“Saya turut maklumkan interaksi dengan rakan-rakan pimpinan antarabangsa sebagai usaha menyatakan solidariti, menyelaras pandangan, selain meneliti dampak global, khususnya dalam aspek tenaga dan keselamatan serantau,” katanya.

Anwar menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian tegas, menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak kembali kepada jalan damai. 

Ketegangan di Asia Barat terus memuncak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lepas.

Tindakan itu menyaksikan Tehran membalas dengan melancarkan serangan dron serta peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara jiran yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat, sekali gus menjejaskan kestabilan pasaran global dan sektor penerbangan.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan