AM

Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Perlu Disegerakan - MyGiG

27/03/2026 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig perlu disegerakan sebagai langkah strategik bagi melindungi kira-kira tiga juta pekerja dan penggiat sektor itu daripada ketidaktentuan ekonomi global.

Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata penubuhan suruhanjaya yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri itu amat penting untuk mengurus ekosistem industri gig yang kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia.

“Peranan suruhanjaya itu bukan sekadar menyelaras, sebaliknya bertindak sebagai pelindung kebajikan serta penyelaras dasar dan polisi berkaitan ekonomi gig,” katanya dalam temu bual bersama Bernama Radio bertajuk ‘Krisis Tenaga Dunia: Strategi Malaysia dan Keperluan Penggiat Ekonomi Gig’, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan kenderaan elektrik (EV) turut dilihat sebagai strategi jangka panjang yang wajar dipertimbangkan secara serius selain Program Budi MADANI RON95 (BUDI95), susulan ketidakstabilan harga minyak dunia.

Mohd Sharkar berkata kerajaan boleh memperkenalkan beberapa inisiatif seperti skim sewaan khas atau rebat bagi membolehkan pekerja gig memiliki EV, selain menyediakan kemudahan pengecasan pantas untuk kegunaan mereka.

“Walaupun terdapat pandangan supaya penggiat ekonomi gig beralih kepada EV, kos permulaan yang tinggi serta kemudahan infrastruktur pengecasan yang masih terhad menjadi kekangan utama

“Bagaimanapun, ia menjadi strategi lebih mampan kerana kos elektrik lebih rendah berbanding petrol selain harganya dikawal oleh kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan