Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 28 Mac (Bernama) -- Program Agro Komuniti B40 Tanaman Nanas MD2 yang dilaksanakan Aqina Fruits Sdn Bhd (AFSB) dengan kerjasama Agrobank, memacu dan menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2: Sifar Kelaparan melalui pemerkasaan golongan berpendapatan rendah dalam sektor pertanian.
Pengarah AFSB Wesley Tan Seah Ging berkata program yang bermula sejak 2020 itu membimbing petani tempatan untuk menjadi usahawan berjaya sekali gus membantu mereka menjaga pendapatan dan keluar daripada jurang kemiskinan dengan menyediakan laluan ke arah kestabilan kewangan.
Beliau berkata inisiatif itu turut mendapat pengiktirafan Anugerah Pembangunan Lestari JCI Malaysia pada 2023 dan memperkukuh komitmen syarikat terhadap pengeluaran makanan yang mampan serta memperkasakan petani kecil untuk meningkatkan kehidupan dan membina masa depan lebih baik.
Menurutnya setakat Disember tahun lepas, sebanyak 87 petani tempatan daripada kumpulan B40 dilantik sebagai peladang kontrak dan mendapat kelulusan pembiayaan oleh Agrobank sebagai institusi kewangan yang menguruskan dana manakala AFSB berperanan sebagai pemaju projek.
“Selain peserta B40, projek berkenaan pada 2024 turut membuka peluang kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM,” katanya kepada Bernama.
Wesley berkata AFSB memastikan peserta dibimbing dan dibantu dalam semua aspek operasi pertanian serta pengurusan kewangan termasuk latihan praktikal di ladang seperti tinjauan pengukuran dan berat tanaman, cara pembajaan dan penggunaan foliar.
Beliau berkata pihaknya turut membantu pendokumentasian rekod dan data berkaitan plot tanaman, jaminan beli balik hasil tanaman peladang kontrak untuk memastikan pasaran berterusan terutama bagi pelanggan sedia ada pihaknya serta mengadakan mesyuarat bulanan untuk membincangkan isu dan kemajuan projek.
“Selain itu, akauntan bertauliah turut membentangkan kunci kira-kira dan keadaan aliran tunai bulanan setiap peserta, serta (bimbingan) penyertaan kursus dan perolehan sijil pertanian berkaitan yang dikeluarkan agensi seperti Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dan Jabatan Pertanian,” katanya.
Menurutnya kepelbagaian kemahiran yang disediakan menjadi batu loncatan kepada mereka untuk menjadi usahawan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Wesley berkata kesemua program berkenaan dilaksanakan di tiga lokasi iaitu di Pekoti Timur, Rompin, Pahang; FGV Chuping Agro Valley, Chuping, Perlis serta Beaufort, Sabah.
Inisiatif berkenaan berjaya melakar beberapa pencapaian termasuk kejayaan beberapa peladang kontrak yang berupaya menubuhkan dan menjalankan perniagaan dengan usaha sendiri walaupun masih menyertai program itu.
“Contohnya, setelah selesai pusingan pertama, beberapa peladang kontrak mampu membeli semula buah daripada kami dan menjadi pembekal nanas untuk pasaran tempatan,” katanya.
Selain itu, katanya seramai 20 peladang kontrak berjaya memperoleh pensijilan Amalan Pertanian Baik (MyGAP) melalui bimbingan AFSB sebagai pemaju projek.
Sehubungan itu, Wesley berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Agrobank serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensinya untuk menyumbang kepada peningkatan ekonomi dari segi pendapatan rakyat serta pengeluaran hasil komoditi negara.
Menurutnya syarikat juga akan memastikan petani tempatan mampu memulakan perniagaan sendiri dengan kadar risiko rendah dan menjadi usahawan nanas berkemahiran tinggi dalam aspek pertanian dan pengurusan kewangan.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dilaporkan berkata, secara keseluruhan, kerjasama antara Agrobank dan AFSB menerusi projek ladang kontrak di bawah model B40 itu menerima peruntukan dana sebanyak RM24 juta.
Beliau berkata pihaknya terus komited untuk memperkasakan golongan asnaf dan B40 melalui geran iTEKAD, dengan Agrobank menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM280,000 bagi setiap peserta projek penanaman nanas untuk menampung modal permulaan.
Projek berkenaan adalah usaha berterusan kumpulan perbankan itu untuk memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.
Selain itu, projek ini turut merangsang pertumbuhan sektor pertanian dan meningkatkan pengeluaran nanas negara bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan serta potensi eksport ke luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial