ANKARA, 28 Mac (Bernama-Anadolu) -- Loji Kuasa Nuklear Bushehr diserang projektil dalam apa yang disifatkan Pertubuhan Tenaga Atom Iran pada Sabtu sebagai serangan ketiga ke atas kemudahan itu, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Sebuah projektil melanda tapak loji jana kuasa pada 12.40 tengah hari Jumaat namun tiada kemalangan jiwa, kerosakan kewangan atau teknikal dilaporkan,” menurut organisasi itu di X.
Ia menggambarkannya sebagai sebahagian daripada serangan berulang, merujuknya sebagai "serangan ketiga" ke atas fasiliti itu.
Organisasi itu juga melabel mereka yang bertanggungjawab sebagai "musuh penjenayah Amerika-Zionis," sambil menekankan bahawa loji itu ialah kemudahan nuklear yang aman.
Menurut organisasi itu “menyerang kemudahan nuklear yang aman ialah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dan ancaman serius terhadap keselamatan serantau."
Tiada butiran lanjut diberikan mengenai jenis projektil atau tahap kesan serangan itu ke atas loji berkenaan.
Loji Kuasa Nuklear Bushehr ialah satu-satunya kemudahan tenaga nuklear Iran yang beroperasi dan memainkan peranan penting dalam program tenaga awamnya.
Ketegangan di rantau itu kian memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb.
Tehran bertindak balas dengan gelombang serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Konflik mengakibatkan korban dan kerosakan infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial