AM

Lebih 20,000 Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Sabah

28/03/2026 03:04 PM

KOTA KINABALU, 28 Mac (Bernama) -- Lebih 20,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin yang tiba kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata penganjuran rumah terbuka Aidilfitri telah menjadi tradisi tahunan kerajaan negeri dalam menyediakan ruang kepada rakyat pelbagai latar belakang untuk bersama-sama meraikan perayaan berkenaan.

“Kita adakan majlis ini setiap tahun, sudah menjadi tradisi kita untuk mengadakan sambutan perayaan Aidilfitri rumah terbuka seumpama ini.

“Majlis ini memberikan ruang dan peluang kepada rakyat pelbagai kaum, bukan saja masyarakat Islam, tetapi rakyat berbilang kaum turut hadir. Ini adalah sesuatu yang cukup baik untuk negeri kita yang pelbagai kaum ini.

“Kita gunakan peluang ini untuk merapatkan lagi silaturahim antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 71 gerai melibatkan usahawan tempatan menyediakan pelbagai hidangan Aidilfitri, selain penyertaan 15 hotel serta enam agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan negeri.

Sambutan bertemakan "Aidilfitri Wadah Perpaduan" itu turut meraikan lebih 1,000 anak-anak tahfiz dan anak yatim.

Pelbagai juadah antaranya rendang, kelupis (nasi yang dibungkus dengan daun), laksa, mi kari, biskut raya, kek, serta minuman disediakan untuk tetamu yang datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan