AM

Projek Janaveteran Kukuhkan Pendapatan, Peranan Veteran ATM — Mohamed Khaled

28/03/2026 03:33 PM

KOTA TINGGI, 28 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan Projek JanaVeteran mampu memperkasakan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui penjanaan pendapatan mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kebajikan dan menjamin kesejahteraan golongan veteran.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek itu dilaksanakan oleh Boustead Plantations Berhad (BPlant) melalui tanaman halia menggunakan jenama Halia KayTi, dengan fokus membina keupayaan veteran agar mampu berdikari dan meningkatkan potensi pendapatan.

“Usaha ini selari dengan matlamat Kementerian Pertahanan untuk memastikan kesejahteraan veteran bukan sahaja dari sudut kebajikan, tetapi juga melalui peluang pekerjaan dan pendapatan bermaruah,” katanya pada Majlis Perasmian Projek JanaVeteran di Telok Sengat di sini, hari ini.

Beliau berkata veteran yang terlibat dijangka menerima gaji bulanan RM3,000 serta insentif tambahan berdasarkan hasil tuaian, sekali gus membuka peluang pendapatan lebih tinggi dan berdaya tahan.

Mohamed Khaled berkata projek ini turut menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran tanaman bernilai tinggi.

Beliau berkata skala projek akan diperluas secara berperingkat ke semua 42 ladang BPlant di seluruh negara serta tanah lain yang bersesuaian, termasuk milik persendirian.

“Kita akan bermula dengan halia, kemudian diperluas kepada lada dan tanaman bernilai tinggi yang lain. Integrasi teknologi turut akan dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata veteran ATM menjadi fokus utama projek berkenaan bagi memastikan golongan itu terus diberdayakan sebagai aset penting negara.

“Veteran ATM ialah individu yang telah banyak berjasa dan berkorban. Kita mahu pastikan mereka terus memainkan peranan dalam pembangunan negara, bukan sekadar bergantung pada pencen,” katanya.

Fasa pertama projek ini melibatkan kawasan seluas 12 hektar dengan penyertaan 15 veteran ATM.

Sementara itu, BPlant menerusi kenyataan memaklumkan di Malaysia, kadar sara diri bagi halia masih rendah, iaitu 15.9 peratus dengan kebergantungan import melebihi 85 peratus. Saiz pasaran global komoditi halia turut dijangka mencecah USD7.5 bilion (RM35.25 bilion) menjelang 2033.

Projek JanaVeteran bukan sahaja menyediakan peluang pendapatan baharu untuk veteran ATM, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan keselamatan makanan negara, menjadikannya contoh usaha bersepadu antara kebajikan dengan pembangunan nasional.

Terdahulu, Mohamed Khaled turut hadir meninjau lokasi tapak tanaman Halia KayTi dan menyaksikan proses penanaman halia yang dilaksanakan oleh peserta-peserta veteran ATM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan