POLITIK

Khairy Jamaluddin Serah Nasib Kepada UMNO

28/03/2026 09:06 PM

PONTIAN, 28 Mac (Bernama) -- Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan berhubung permohonannya menyertai semula UMNO.

Beliau berkata surat permohonan itu telah dikemukakan dan kini menunggu keputusan, yang dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 17 April ini.

“Saya telah mengemukakan surat permohonan dan menyerahkan kepada UMNO untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerja UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Mohd Sumali Reduan di Benut, di sini.

Khairy berkata beliau bersedia kembali berkhidmat sekiranya permohonannya diluluskan, selain memaklumkan pertemuan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, telah diatur dengan bantuan Sumali.

Menurut Khairy sekiranya diterima semula, beliau mahu bermula sebagai ahli biasa tanpa memikirkan sebarang jawatan kerana masih dalam proses kembali ke parti.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata permohonan beberapa bekas pemimpin termasuk Khairy akan dibawa ke mesyuarat MKT pada 17 April ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan