AM

KPDN Panggil Presma Dapat Penjelasan Kenaikan Kos Operasi

28/03/2026 08:03 PM

PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memanggil pihak Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan kenaikan kos operasi sehingga 10 hingga 30 peratus.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam dipertanggungjawabkan menguruskan perkara berkenaan bagi mendapatkan penjelasan terperinci disertai bukti dan data sokongan yang kukuh terhadap dakwaan tersebut.

“KPDN komited untuk bekerjasama dengan pihak industri dalam mencari penyelesaian yang bersifat menang-menang, termasuk meneliti faktor rantaian bekalan, kos input, dan tekanan global yang memberi kesan kepada pengusaha.

“Namun begitu, kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang pelarasan harga kepada pengguna mesti berasaskan kos sebenar dan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fuziah, KPDN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya terdapat unsur pencatutan atau kenaikan harga yang tidak munasabah.

Baru-baru ini, PRESMA memaklumkan bahawa pengusaha restoran menghadapi kenaikan kos operasi antara 10 hingga 30 peratus susulan tekanan ekonomi global.

Presidennya Mohamed Mosin Abdul Razak berkata kenaikan itu dipengaruhi oleh gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos logistik serta ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.

Katanya kenaikan kos bukan sahaja melibatkan bahan mentah seperti ayam dan sayur-sayuran, malah turut membabitkan kos pembungkusan, gas memasak serta utiliti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan