Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
KOTA BHARU, 29 Mac (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah melaksanakan projek penyelidikan produk ikan bekok melibatkan inovasi pembungkusan dan pendekatan pemasaran digital bertujuan membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat.
Pengarah Innovation Park (InnoPark) UMK Dr Tengku Fauzan Tengku Anuar berkata projek itu tercetus selepas penyelidik universiti mendapati makanan tradisi yang menjadi identiti penduduk di Kampung Geting, Tumpat itu, kurang dikenali oleh masyarakat luar walaupun mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Beliau berkata kekangan utama yang dikenal pasti ialah kaedah pembungkusan konvensional menggunakan surat khabar dan plastik tidak kedap udara yang menyebabkan produk ikan bekok mudah rosak, berlendir serta berbau.
"UMK memperkenalkan teknologi pembungkusan menggunakan mesin pengedap vakum selain memberi pendedahan kepada komuniti mengenai penjenamaan dan pemasaran digital bagi meningkatkan daya saing produk itu di pasaran," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata projek penyelidikan yang mendapat kelulusan rasmi pada 13 Dis 2019 itu dilaksanakan secara aktif sepanjang 2020 hingga 2021 melibatkan 14 penyelidik UMK daripada pelbagai bidang.
Tengku Fauzan berkata program berkenaan diselaraskan oleh Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK) dengan penyertaan 24 pengusaha produk makanan tempatan dan hasil laut sekitar Tumpat.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata istilah ikan bekok bukan merujuk kepada spesies ikan tertentu sebaliknya kaedah pengawetan ikan masin kering yang diperam sementara dan produk itu menggunakan pelbagai jenis ikan tempatan seperti gelama, cencaru, kekek, layur, pari dan talang.
"Produk ini dipilih kerana potensinya yang tinggi untuk dikomersialkan selain mampu mengurangkan kerugian akibat kerosakan makanan melalui penggunaan teknologi pembungkusan moden.
"Pelaksanaan projek itu turut memberi manfaat kepada komuniti setempat termasuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan wanita dan ibu tunggal dalam aktiviti pemprosesan serta pemasaran produk," katanya.
Berdasarkan pemantauan projek, beliau berkata pendapatan peserta dilaporkan meningkat hingga 100 peratus dengan anggaran jumlah jualan mencecah RM400,000 sebulan.
"Produk itu kini dipasarkan di bawah jenama ‘Ikey Bekok Tumpat’ dan dipromosikan melalui pelbagai platform e-dagang seperti TikTok, WhatsApp, Shopee, Facebook dan Instagram, sekali gus membuka potensi pasaran lebih luas termasuk kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya
Tengku Fauzan berkata UMK turut merancang untuk memperluaskan projek itu melalui penggunaan teknologi hijau, kepelbagaian pembungkusan serta pemantauan impak sosial bagi memastikan pembangunan ekonomi komuniti setempat dapat diperkukuh secara berterusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial