JENAYAH & MAHKAMAH

Pengasuh Baby Syifaa Dipenjara Setahun, Denda RM15,000

30/03/2026 01:09 PM

SEREMBAN, 30 Mac (Bernama) -- Pengasuh kepada Nour Rania Asyifaa Yuseri atau dikenali Baby Syifa dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pengabaian hingga menyebabkan kematian bayi itu, empat tahun lepas.

Hakim N Kanageswari memerintahkan Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 41, menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh dikenakan penjara tambahan selama empat bulan.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 48 jam dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan dan dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Ku Hayati Ku Haron manakala tertuduh diwakili peguam S Kavittha.

Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia 15 bulan itu telah mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan pada 22 Feb 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Koroner pada 31 Julai 2024 memutuskan bahawa punca kematian Baby Syifaa yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah taska di Sendayan pada 2022, adalah disebabkan tekanan pada leher.

Koroner Datin Surita Budin berkata kematian bayi itu bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan, tetapi disebabkan oleh keadaannya tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan pengasuh.

Sebanyak 28 saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk ibu bapa mangsa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 Sept 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan