KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Kempen Bulan Bumi Edisi ke 15 IOI Corporation Bhd (IOI) dengan tema "Upcycle 4 Better future" yang berlangsung dalam Mac tahun ini, menceminkan usaha berterusan IOI untuk memupuk budaya kemampanan merentas tenaga kerjanya.
IOI melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan kempen itu menampilkan siri bengkel makan tengah hari dan belajar yang memberi inspirasi kepada kakitangannya untuk memikirkan cabaran sisa serta mengamalkan cara hidup yang lebih mampan melalui kitar semula.
“Bulan Bumi IOI terus berfungsi sebagai platform utama untuk melibatkan dan memperkasakan kakitangan kami dalam kemampanan, sejajar dengan komitmen kumpulan terhadap amalan yang bertanggungjawab serta penciptaan nilai jangka panjang.
“Selepas kempen ini berakhir, mesejnya akan terus kekal iaitu perubahan bermakna bermula dengan tindakan kecil, dan bersama-sama, tindakan ini boleh membentuk masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulan IOI Datuk Lee Yeow Chor dalam ucapan perasmiannya berkata usaha kitar semula dalam kempen itu mencabar kakitangan untuk melihat sisa secara berbeza iaitu dengan inovasi, kepintaran termasuk tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang.
"Ia adalah inovasi bertujuan. Ia merupakan kreativiti yang dipandu oleh hati nurani. Dan yang paling penting, ia adalah suatu tindakan dalam kawalan kami," katanya.
IOI berkata sepanjang empat sesi interaktif, kempen itu meneroka bagaimana sisa harian, daripada beg plastik dan bekas kaca kepada minyak masak terpakai dan sisa makanan, boleh diubah menjadi barangan yang berguna serta bernilai lebih tinggi.
"Dengan menghidupkan tujuh prinsip dalam kitaran dengan cara yang mudah dan praktikal, bengkel-bengkel tersebut menunjukkan betapa pilihan kecil tetapi dengan kesedaran di rumah dan di tempat kerja boleh memacu impak alam sekitar yang bermakna.
"Pengalaman sebenar juga mampu mengukuhkan idea yang mudah tetapi berkuasa: kemampanan adalah dalam jangkauan semua orang," katanya.
Menurut IOI, kempen itu memberikan impak yang nyata dan berkekalan, apabila pekerja mengitar semula lebih 10 kilogram beg plastik serta lapan helai baju-t lama kepada 30 beg jinjing.
"Kakitangan juga menukar enam liter minyak masak terpakai kepada 13 kilogram sabun buatan tangan, menukar bekas kaca kepada 35 karya seni yang unik selain mengalihkan 17 kilogram sisa makanan kepada pengkomposan.
"Usaha ini menyerlahkan bagaimana sisa harian boleh digunakan semula menjadi nilai yang bermakna," katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial