KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Malaysia berada dalam keadaan ekonomi yang kukuh dalam memasuki tempoh kejutan harga minyak berikutan konflik di Asia Barat, disokong oleh permintaan dalam negeri yang teguh, inflasi yang sederhana, sektor kewangan yang mantap dan kedudukan luaran yang berdaya tahan.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga turut memberikan sedikit perlindungan daripada rintangan luaran.
"Namun begitu, BNM akan terus memantau dan berwaspada terhadap perkembangan yang pantas berubah dalam konflik ini serta bersiap sedia untuk memastikan dasar monetari terus memberikan sokongan pada ekonomi sambil mengekalkan keadaan harga yang stabil," kata bank pusat itu dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 yang dikeluarkan hari ini.
Sejak 28 Februari 2026, ketegangan geopolitik di Asia Barat meruncing selepas tercetusnya konflik ketenteraan yang menjejaskan pengeluaran minyak dan gas serta rantaian bekalan dan logistik yang berkaitan di rantau itu.
Kenaikan kos insurans, bersama-sama dengan pengunduran pengendali perkapalan komersial utama mengakibatkan gangguan yang ketara terhadap trafik maritim di laluan Selat Hormuz, yang menyaksikan hampir 20 peratus daripada bekalan minyak global melalui selat berkenaan setiap hari.
Selain gangguan perkapalan, konflik tersebut juga memaksa penutupan sementara loji pengeluaran minyak utama di seluruh rantau Asia Barat akibat kerosakan infrastruktur serta kapasiti penyimpanan yang telah penuh, lantas mengekang lagi bekalan global.
BNM berkata impak keseluruhan terhadap Malaysia akan bergantung pada tempoh konflik ini berlangsung, tahap keseriusan gangguan, dan sejauh mana konflik tersebut menjejaskan pengeluaran tenaga global dan rantaian logistik.
Dalam episod konflik ketenteraan sebelum ini termasuk Perang Teluk pada 1990 serta Konflik Rusia-Ukraine pada 2022, bank pusat berkata harga minyak lazimnya meningkat dengan ketara selama tiga hingga enam bulan sebelum menurun secara beransur-ansur ke tahap sebelum konflik.
"Namun begitu, hasil yang dicatatkan sebelum ini menunjukkan variasi antara episod-episod terdahulu, dan konflik di Asia Barat ketika ini berpotensi berkembang dengan trajektori yang berbeza.
"Jika permusuhan kekal terkawal dan beransur-ansur reda, gangguan mungkin bersifat sementara, dicirikan oleh pemberhentian pengeluaran sementara dan gangguan penghantaran separa melalui Selat Hormuz, dengan rizab strategik membantu mengimbangi kekurangan bekalan jangka pendek," katanya.
Dalam keadaan ini, BNM berkata harga minyak dijangka kekal tinggi tetapi masih boleh diurus, dengan limpahan yang terhad kepada pertumbuhan, perdagangan dan inflasi global.
Bank pusat berkata gangguan yang berlarutan mampu menyebabkan gangguan berterusan kepada trafik maritim, kerosakan berpanjangan kepada infrastruktur tenaga, dan penutupan pengeluaran yang berpanjangan dalam kalangan pengeluar utama Teluk.
Menurutnya, situasi ini akan mengakibatkan harga minyak kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, mengurangkan permintaan luaran dan menjejaskan perdagangan serta pertumbuhan global.
Dalam senario ini, BNM berkata kos tenaga dan kos input yang lebih tinggi akan meningkatkan kemungkinan berlakunya kesan pindahan kos yang lebih meluas kepada harga pengguna dalam negeri, sekali gus menimbulkan risiko tekanan inflasi yang berlarutan.
"Akibatnya, kuasa beli isi rumah akan semakin terhakis dan permintaan dalam negeri akan semakin lembap," katanya.
Konflik Asia Barat: Impak kepada Malaysia
Sebagai ekonomi kecil yang terbuka, prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia sensitif terhadap perkembangan geopolitik dan harga tenaga global.
BNM berkata konflik sebegini memberikan kesan terhadap ekonomi dalam negeri terutamanya melalui tiga saluran utama termasuk harga tenaga yang lebih tinggi meningkatkan kos import dan seterusnya memberikan tekanan menaik terhadap kos pengeluaran dalam negeri dan harga pengguna.
Menurut bank pusat, keadaan ini berpotensi melembapkan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perniagaan.
Ia berkata permintaan luaran yang lebih lemah berikutan kejutan harga minyak boleh menjejaskan eksport dan pertumbuhan keseluruhan dan harga minyak yang kekal tinggi dan ketidaktentuan yang semakin ketara meningkatkan penghindaran risiko, lantas mendorong peralihan ke arah aset yang lebih selamat.
"Hal ini mengakibatkan aliran modal rentas negara menjadi lebih tidak menentu dalam kalangan ekonomi yang sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, dan berkemungkinan memberikan kesan limpahan yang menjejaskan keadaan kewangan dan kadar pertukaran asing," kata BNM.
Meskipun demikian, bank pusat berkata kesan-kesan ini sebahagiannya boleh diimbangi oleh pendapatan daripada eksport berkaitan komoditi yang lebih tinggi, berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga.
BNM berkata subsidi bahan api bersasar sedia ada juga boleh membantu mengurangkan penyaluran harga tenaga global yang lebih tinggi kepada inflasi dan ekonomi dalam negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial