AM

Lepasan SPM 2025 Disaran Rebut Peluang Kemasukan PISMP IPG- Wong

31/03/2026 12:38 PM

KAJANG, 31 Mac (Bernama) -- Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memenuhi kriteria digalakkan melanjutkan pengajian ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata permohonan bagi kemasukan 2026 akan ditutup pada Khamis ini, dengan kuota pengambilan ditingkatkan kepada 9,800 kemasukan berbanding kira-kira 5,000 hingga 6,000 pada dua tahun sebelumnya.

“Kita merancakkan pengambilan bagi menampung keperluan di lapangan dan bagi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina, kita bersama-sama Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina) dan Jiao Zong (Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina) giat mempromosikan peluang ini.

“Menerusi program ini, lepasan SPM yang masuk ke IPG akan mengikuti tempoh pengajian selama lima tahun dan pada 2030 atau 2031, mereka tamat pengajian dan boleh menjadi guru sekolah kebangsaan, SMJK Cina dan Tamil,” katanya. 

Wong berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau pengumuman keputusan SPM 2025 di SMJK Yu Hua di sini hari ini.

Berdasarkan dokumen panduan permohonan PISMP dikeluarkan Kementerian Pendidikan, antara syarat diperlukan ialah lulus SPM dengan memperoleh gred cemerlang dalam mana-mana lima mata pelajaran serta sekurang-kurangnya gred kepujian bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

Antara syarat lain ialah berusia tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2026, sihat tubuh badan dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Dalam sidang media sama, Wong memaklumkan keputusan SPM 2025 bagi subjek Bahasa Cina menunjukkan peningkatan satu peratus berbanding tahun lepas, dengan 40,888 daripada 46,046 calon yang mengambil mata pelajaran itu mendapat kredit A hingga C.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan