AM

AI, Media Sintetik Perlu Tadbir Urus Kukuh - Nik Kamaruzaman

31/03/2026 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan media sintetik sedang mentransformasikan industri penyiaran dengan membuka peluang baharu, namun turut menimbulkan cabaran yang kritikal dari segi etika, kredibiliti, dan ketulenan maklumat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata perubahan itu didorong oleh peningkatan penggunaan AI dan teknologi generatif sedang membentuk semula cara kandungan dihasilkan, diedarkan dan digunakan merentasi pelbagai platform.

“Dalam landskap yang kian berkembang ini, pembangunan media sintetik seperti isu dijana AI, penyampai maya dan penceritaan automatik mewujudkan kemungkinan baharu dari segi kreativiti, ketepatan serta penglibatan audiens,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Simposium Penyiaran Digital Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) 2026 (DBS2026) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Nik Kamaruzaman mengingatkan bahawa kemajuan tersebut turut menimbulkan kebimbangan serius berkaitan etika, kredibiliti dan ketulenan maklumat, khususnya apabila kandungan digital kini boleh dihasilkan dan disebarkan pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan kerjasama erat antara kerajaan, penyiar, pengawal selia dan syarikat teknologi bagi memastikan inovasi disertai dengan tadbir urus yang bertanggungjawab.

“Kementerian Komunikasi kekal komited untuk menyokong inisiatif yang meningkatkan keupayaan penyiaran, mempercepat penggunaan teknologi serta memperkukuh kemampanan jangka panjang industri media,” katanya.

Nik Kamaruzaman turut menekankan peranan institusi seperti Radio Television Malaysia (RTM) dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dalam memacu ekosistem penyiaran yang progresif dan inovatif.

Beliau berkata penumpuan antara teknologi penyiaran dan jalur lebar kini membolehkan penyampaian kandungan secara lancar merentasi pelbagai platform.

Dalam persekitaran ini, kandungan yang berkualiti tinggi dan telus menjadi semakin penting bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat dan menghiburkan, malah turut membentuk pemahaman awam serta memperkukuh hubungan dalam masyarakat.

Mengenai simposium itu, Nik Kamaruzaman berkata DBS2026 yang berlangsung dari semalam hingga 2 April akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan penyiaran dan media di rantau Asia-Pasifik melalui perkongsian pengetahuan serta jaringan industri.

Dianjurkan ABU, simposium itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa, termasuk lebih 300 organisasi penyiar, pengawal selia, penyedia teknologi, ahli akademik serta pengamal media.

Bertemakan “Raising Synthetic Era”, acara itu menampilkan persidangan industri, pameran teknologi penyiaran, bengkel teknikal serta kelas induk yang dikendalikan oleh pakar-pakar global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan