EKONOMI

Kerajaan MADANI Bertindak Proaktif Berasaskan Data, Realiti Semasa Hadapi Krisis Tenaga Global

31/03/2026 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menghadapi krisis tenaga global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu bagi memastikan setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan.

“Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” kata beliau dalam hantaran di laman sosial X hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini bagi meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam mengakui cabaran ini, saya ingin menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan,” kata beliau.

Anwar berkata hakikatnya, dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya.

“Justeru, kita tidak boleh alpa atau terlalu selesa. Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi,” kata beliau.

Dalam masa sama, Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik.

“Utamakan barangan tempatan dan sokonglah usahawan kita, kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan