AM

SPM 2025: Kecacatan Fizikal Tidak Halang Nur Afiera Raih Keputusan Cemerlang

31/03/2026 08:46 PM

MELAKA, 31 Mac (Bernama) -- Kecacatan fizikal pada bahagian kiri badan sejak lahir tidak menjadi penghalang kepada pelajar Orang Asli Nur Afiera Aisyah Mohd Nasir, 18, untuk mencatat keputusan 6A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.

Anak kedua daripada empat beradik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Dol Said di Alor Gajah itu turut menerima pengiktirafan sebagai pelajar Orang Asli terbaik SPM 2025 bagi negeri Melaka.

Pelajar suku Kuala yang berasal dari Kampung Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor berkenaan berkata kejayaan yang dikecapinya itu hasil usaha berterusan mengulang kaji pelajaran, mengikuti kelas dalam talian yang dianjurkan guru selain belajar hingga waktu lewat malam.

“Saya tiada rahsia tertentu, cuma saya akan belajar mengikut jadual, ulang kaji apa yang diajar oleh cikgu selain ikut serta kelas dalam talian untuk tambah kefahaman.

“Ketika percubaan SPM, keputusan saya juga tidak begitu bagus selain berasa sedikit tertekan namun alhamdulillah, apabila keputusan diumumkan hari ini saya berjaya memperoleh 6A,” katanya pada Majlis Apresiasi SPM 2025 Negeri Melaka di Klebang di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri Mahfudzah Mohamed Noor.

Nur Afiera juga mengakui beliau pernah berdepan tekanan emosi selama beberapa minggu menjelang peperiksaan percubaan kerana bimbang tidak dapat mencapai keputusan cemerlang seperti diharapkan.

“Ketika itu saya agak stres dan tidur lewat kerana mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk membanggakan ibu bapa, namun saya cuba kawal tekanan dan terus fokus.

“Saya juga pernah beberapa kali bertukar sekolah, namun pengalaman itu menjadikan saya cekal dan matang untuk terus berusaha lebih gigih,” katanya.

Nur Afiera berkata abang sulungnya Muhammad Naufal Adam, yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM 2023 dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti di Kuantan, Pahang juga antara inspirasi utamanya untuk mencapai keputusan terbaik.

Beliau berkata walaupun menulis menggunakan tangan kanan sepenuhnya namun keadaan itu tidak pernah dijadikan sebagai alasan.

“Saya percaya kekurangan itu bukanlah penghalang, jika kita mahu berjaya kita perlu usaha dan tetap boleh capai apa yang diimpikan. Saya juga berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perundangan dan menjadi seorang peguam kerana ia adalah cita-cita sejak kecil selain mahu banggakan keluarga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan