AM

Maklumat UI, IGU Bantu SPRM Catat 65 Tangkapan Kes Rasuah Pada 2025

31/03/2026 09:10 PM

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Penyaluran maklumat strategik oleh pegawai yang ditempatkan di Unit Integriti (UI) serta Unit Integriti dan Governans (IGU) agensi kerajaan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatat 65 tangkapan serta 379 pertuduhan kes rasuah pada 2025.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik serta komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sebanyak 104 maklumat telah disalurkan melalui Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM sepanjang tahun lepas untuk tindakan lanjut, sekali gus mencatat peningkatan 0.9 peratus berbanding 96 maklumat pada 2024," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata SPRM akan terus memperkukuh peranannya dalam penguatkuasaan membanteras rasuah melalui penyaluran maklumat strategik oleh pegawai yang ditempatkan di UI agensi awam serta IGU.

Beliau berkata seiring dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan keperluan memperkasakan peranan UI di semua agensi kerajaan sebagai benteng utama dalam membanteras rasuah.

"Berdasarkan rekod hingga 31 Mac 2026, sebanyak 100 pegawai SPRM telah ditempatkan di UI dan IGU, melibatkan 92 pegawai di UI agensi awam serta lapan pegawai di IGU GLC.

"Hal ini sekali gus memperluas peranan pengawasan dan pencegahan di pelbagai sektor strategik negara," katanya.

Azmi turut mengingatkan pegawai yang ditempatkan di agensi luar agar sentiasa memelihara tatakelakuan dan disiplin, selaras dengan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Selain itu, beliau berkata pegawai UI dan IGU juga diseru untuk memainkan peranan proaktif dalam melaksanakan pemantauan secara berterusan termasuk Laporan SPRM (LSPRM) serta syor khidmat nasihat agensi di bawah seliaan yang dijadikan agenda tetap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) sebagai langkah pengukuhan tadbir urus.

Terdahulu, Azmi mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM bersama pegawai SPRM yang ditempatkan di agensi luar.

Dalam mesyuarat itu, turut diadakan Sesi Libat Urus pegawai SPRM di agensi luar bersama Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM Lim Bee Kean dan Cawangan Siasatan Integriti Badan Awam (CBA), Bahagian Siasatan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan