JENAYAH & MAHKAMAH

Sebuah Syarikat, Dua Pengarah Didakwa Miliki 229 Unit Minyak Pelincir Tiruan

01/04/2026 03:06 PM

PETALING JAYA, 1 April (Bernama) -- Sebuah syarikat dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki 229 unit minyak pelincir kereta jenama terkenal yang didapati tiruan, tahun lepas.

M Perfect Lubricant Sdn Bhd diwakili pengarahnya, Khoo Zhi Sheng, 42, dan Yap Kok Lim, 43, yang juga orang kena saman (OKS), dan masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut dua pertuduhan, kedua-dua OKS didakwa memiliki 229 unit minyak pelincir kereta dua jenama terkenal bagi tujuan perdagangan, yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat terbabit di Taman Perindustrian Jaya di sini, pada 11.45 pagi, 29 April 2025, mengikut Seksyen 102 (1)(c) [Akta 815], dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barangan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salim Wahid, manakala kedua-dua OKS diwakili oleh peguam Khaw Thian Keat. 

Hakim Syahliza membenarkan setiap OKS diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai, dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta menetapkan sebutan kes pada 8 Mei ini.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Ruzilawati Mohd Nor pula, Khoo didakwa atas pertuduhan yang sama, dan dibenarkan ikat jamin RM6,000 serta syarat tambahan melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya sebulan sekali serta menetapkan sebutan kes pada tarikh sama (8 Mei).

Pada 29 April tahun lepas, tiga premis yang disyaki menjalankan kegiatan membotol dan mengedar minyak enjin menggunakan cap dagangan palsu diserbu dalam operasi bersepadu di Ara Damansara dan Kepong, di sini.

Dalam serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama KPDN itu, sebanyak 13 individu termasuk tujuh warga asing dari Bangladesh serta Sri Lanka turut ditahan.

Menurut laporan media, sindiket itu dipercayai membotolkan semula minyak enjin sebelum meletakkan label jenama terkenal pengeluar kenderaan tempatan, dan antarabangsa secara tidak sah serta menggunakan alamat palsu pada botol berkenaan.

Sindiket yang telah beroperasi selama dua hingga tiga tahun itu dipercayai memasarkan produk berkenaan melalui platform dalam talian serta media sosial, dan telah mengaut keuntungan jutaan ringgit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan