EKONOMI

Top Glove Dijangka Terima Manfaat Daripada Harga Lateks Yang Lebih Rendah

01/04/2026 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pengeluar sarung tangan yang lebih terdedah kepada sarung tangan lateks asli boleh menerima manfaat sementara waktu di tengah-tengah konflik Asia Barat apabila pelanggan mencari pengganti yang lebih murah bagi sarung tangan getah nitril butadiena (NBR).

Dalam satu nota penyelidikan, CIMB Securities berkata Top Glove Corp jelas menonjol sebagai penerima manfaat daripada langkah itu, memandangkan sarung tangan NL menyumbang lebih 36 peratus daripada jumlah jualannya pada separuh pertama tahun kewangan 2026. 

Katanya, pengeluar sarung tangan global itu merancang untuk menaikkan purata harga jualan (ASP) sebanyak US$7- US$9 bagi setiap 1,000 keping sarung tangan NBR dan US$3 bagi setiap 1,000 keping sarung tangan NL bermula April 2026.

Berikutan semakan semula ASP, ASP campuran Malaysia dijangka berada pada harga US$27–US$29 setiap 1,000 keping, lebih tinggi daripada China yang berada pada harga US$23– US$24 bagi setiap 1,000 keping, walaupun dengan julat yang lebih sempit. 

“Harga input utama bagi pembuat sarung tangan, terutamanya akrilonitril dan butadiena, telah melonjak lebih 59 hingga 100 peratus sejak konflik Asia Barat bermula pada akhir Februari 2026. 

“Penutupan Selat Hormuz menjejaskan bekalan derivatif kimia yang dihasilkan daripada minyak mentah, sekali gus mendorong Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia bagi campur tangan kerajaan untuk mengatasi kekurangan lateks NBR yang terhasil,” katanya. 

Menurut CIMB Securities, harga NL meningkat sebanyak 10 peratus, walaupun ia secara relatifnya tidak terjejas dengan konflik tersebut. 

Berdasarkan semakan salurannya, paras inventori pengeluar sarung tangan di seluruh Malaysia, Thailand dan China dilihat berada pada paras terendah kritikal, dan kini berlegar sekitar satu hingga dua bulan (termasuk barangan siap dan barangan dalam transit). 

Oleh itu, industri mungkin menghadapi masalah bekalan sekiranya konflik Amerika Syarikat-Iran berlarutan. 

“Dalam keadaan sedemikian, pembuat sarung tangan dengan rantaian bekalan bersepadu mungkin berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi cabaran itu,” tambahnya. 

Katanya, operasi pengeluaran Top Glove di Thailand mungkin memberi kelebihan kepada kumpulan itu, kerana kilangnya di Thailand boleh mendapatkan lateks asli daripada pasaran tempatan, sekali gus membantu menyokong kestabilan rantaian bekalan. 

Secara keseluruhan, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘neutral’ untuk Top Glove, dengan harga sasaran 63 sen. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan