AM

Sekatan Beli RON95 Guna Kad Kredit, Debit Asing Di Pam Petrol Bermula Hari Ini

01/04/2026 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Penguatkuasaan sekatan pembelian petrol RON95 menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri pam minyak dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara mulai hari ini.

Langkah terbaharu itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memperkasa mekanisme pemberian subsidi bahan api itu di Malaysia susulan krisis tenaga global.

Tinjauan di beberapa negeri khususnya yang bersempadan dengan negara jiran mendapati Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemantauan di stesen minyak.

Selain operasi pemantauan, pengusaha stesen minyak juga dilihat sudah bersedia selain mematuhi peraturan berkaitan sekatan penjualan petrol RON95 menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri.

Di SARAWAK, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam turut melakukan tinjauan pelaksanaan peraturan baharu itu di Tasik Biru, Bau, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Kuching. 

Beliau berkata kerjasama yang diberikan oleh pengusaha stesen minyak termasuk di Sarawak terhadap pelaksanaan kawalan pengisian petrol dan diesel adalah sangat baik. 

Dalam masa sama, beliau berkata terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat kepada orang ramai berhubung larangan terbaharu itu.

"Antara cadangan termasuk memperbesar paparan arahan berkaitan had pengisian petrol dan diesel di stesen minyak supaya lebih jelas dan mudah difahami pengguna, selain penggunaan bahan komunikasi berbentuk grafik agar penyampaian maklumat lebih menarik dan berkesan," katanya.

Azman berkata sebanyak 283 stesen minyak di Sarawak akan terus dipantau bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan itu.

Di JOHOR, Pengarah KPDN negeri Lilis Saslinda Pornomo berkata 180 penguat kuasa melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan khususnya di kawasan titik panas dan pintu sempadan negeri itu.

Beliau berkata pemantauan di semua 639 stesen minyak di negeri itu juga akan terus dipertingkatkan menerusi rondaan harian termasuk melakukan hebahan serta peringatan kepada pemilik kenderaan asing mengenai penguatkuasaan itu.

“Selain itu, kita turut menempatkan penguat kuasa secara statik di lokasi strategik dan melaksanakan pemeriksaan mengejut secara berkala,” katanya kepada Bernama selepas meninjau penguatkuasaan di stesen minyak di Johor Bahru.

Sementara di KELANTAN, pengurus sebuah stesen minyak di Kampung Belukar, Tumpat di sini, Ku Muhammad Farid Aidil Ku Din berkata semua petugas di stesen itu sudah diberi taklimat berhubung penguatkuasaan tersebut.

“Kami  tidak berdepan sebarang masalah untuk melaksanakannya. Langkah yang diambil kerajaan ini sangat kami alu-alukan dalam memastikan RON95 dapat dinikmati rakyat tempatan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak juga mendapati penguat kuasa KPDN Kelantan giat melakukan pemantauan secara berkala di semua stesen minyak sejak awal pagi tadi terutama di lokasi berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Di KEDAH, Pengarah KPDN negeri Muhammad Nizam Jamaludin dalam kenyataan berkata sebanyak 180 pegawai penguat kuasa ditugaskan bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan selain kerjasama bersepadu dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan yang lain, melalui Ops Tiris 4.0.

Tinjauan di beberapa stesen minyak di Changlun, berhampiran sempadan negara mendapati tiada kenderaan asing yang dilihat mengisi petrol RON95.

Seorang pengusaha stesen minyak, Mohamad Niekmat Ariffin berkata semua pekerjanya telah dimaklumkan mengenai arahan penguatkuasaan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing serta sekatan kad kredit dan debit asing di terminal layan diri yang mula dilaksanakan hari ini.

“Kita juga melakukan pemantauan dan mengawal jualan minyak untuk elak penyalahgunaan, contoh isian ke tong tanpa permit melebihi 20 liter,” katanya.

Di PERLIS, rata-rata pengusaha stesen minyak cakna dan mematuhi arahan sekatan penjualan menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri pam minyak, malah mereka mengambil inisitiaf membuat hebahan dengan menampal notis di pam petrol.

Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan yang turut menyertai operasi pemeriksaan hari ini, berkata majoriti pihak stesen minyak memahami  tentang peraturan yang dikuatkuasakan hari ini dan mematuhi larangan tersebut.

Beliau berkata pihaknya turut mempertingkatkan kawalan dan pemeriksaan di 40 stesen minyak di seluruh Perlis setiap hari pada sebelah siang dan malam, dengan tumpuan lebih kepada 10 stesen minyak yang berada di kawasan sempadan.

“Buat permulaan kita lebih kepada advokasi untuk mendidik dan memberikan penerangan tentang peraturan penggunaan kad kredit dan kad debit asing bagi kenderaan asing ini,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan