KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Sektor pembuatan ASEAN mencatat penyederhanaan ketara dari segi penunjuk permintaan pada Mac 2026 susulan peningkatan kos input dan caj output, sekali gus menjadikan prestasi terendahnya dalam tempoh enam bulan, menurut S&P Global.
Dalam kenyataan hari ini, firma itu menyatakan pertumbuhan output dan pesanan baharu kukuh, namun lebih rendah daripada pengembangan ketara yang dicatatkan pada Februari 2026.
“Ini hanya menyebabkan peningkatan perlahan dalam aspek pembelian dan pekerjaan.
“Pada masa sama, tekanan harga turut melonjak pada Mac dengan petunjuk harga tinjauan kembali melepasi paras purata jangka panjang,” menurutnya.
Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) ASEAN S&P Global susut kepada 51.8 pada Mac lepas.
Walaupun angka itu memaparkan peningkatan sederhana dari segi pembuatan ASEAN dan meneruskan pengembangan semasa kepada sembilan bulan, data berkenaan bagaimanapun adalah terendah sejak September 2025 dan membuktikan kekurangan momentum pertumbuhan ketara sejak Februari 2026.
Selain itu, terdapat peningkatan pesanan baharu yang kukuh dan output pada Mac yang hanya meneruskan pengembangan sejak pertengahan 2025.
Namun, peningkatan pesanan baharu itu adalah yang paling lemah sejak Ogos lepas manakala pertumbuhan pengeluaran juga terendah dalam tempoh lapan bulan dan penurunan pesanan eksport baharu hanya memberi impak ke atas jumlah jualan secara menyeluruh.
“Berikutan itu, syarikat-syarikat bertindak melaras aktiviti pembelian dan pengambilan pekerja pada Mac yang hanya mencatat peningkatan kecil,” menurutnya.
Pada masa sama, syarikat mengurangkan stok barangan siap atau pasca pengeluaran iaitu bulan pertama pengurangan stok sejak November 2025.
Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence Maryam Baluch berkata impak daripada konflik Asia Barat itu juga dapat dilihat di negara-negara ASEAN sebagaimana dipaparkan oleh data PMI bagi Mac.
Impak itu ketara bagi aspek permintaan, pengeluaran malah keyakinan, katanya.
Perkembangan paling ketara adalah peningkatan tekanan harga dengan unjuran bagi rantau itu kekal tidak menentu.
“Empat daripada tujuh ekonomi ASEAN yang ditinjau menunjukkan keadaan yang perlahan merentasi sektor pembuatan, termasuk Indonesia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial