AM

Peniaga Diingat Tidak Naikkan Harga Ikan Guna Alasan Diesel

01/04/2026 04:33 PM

MERSING, 1 April (Bernama) -- Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ikan dengan memainkan sentimen kenaikan kos diesel susulan krisis tenaga global, ketika bekalan hasil laut dalam negara kekal mencukupi dan stabil, selain subsidi kepada nelayan masih diteruskan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata tindakan itu tidak wajar memandangkan kerajaan mengekalkan subsidi diesel dan petrol kepada sebahagian besar nelayan di Zon A, B dan C.

Beliau berkata keadaan itu tidak menjejaskan aktiviti nelayan untuk terus turun ke laut, terutama ketika musim tangkapan ikan yang banyak ketika ini, sekali gus menolak dakwaan bahawa hasil tangkapan semakin merosot.

“Kenaikan harga diesel ini memberi kesan kepada nelayan di Zon C2. Kita mempunyai empat zon iaitu Zon A (nelayan pantai), B, C dan C2 (laut dalam). Penyasaran subsidi adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan atau kurang berkemampuan.

“Kita percaya bahawa golongan yang patut dibantu adalah Zon A, B dan C. Zon C2 ini golongan nelayan yang memang berkemampuan. Namun dengan kenaikan diesel yang melonjak, kita sedang meneliti keadaan terbaik untuk menyelaraskan subsidi diesel kepada Zon C2,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Mersing di Kompleks LKIM, di sini, hari ini.

Muhammad Faiz berkata nelayan turut menerima pelbagai bentuk sokongan kerajaan, termasuk elaun sara hidup, subsidi bahan api dan peralatan tangkapan ikan, selain peruntukan RM3 juta bagi bantuan ‘touch point’ yang diagihkan secara adil kepada nelayan di seluruh negara.

Beliau berkata bantuan itu bertujuan menggalakkan nelayan terus turun ke laut bagi memastikan bekalan ikan negara terus mencukupi di pasaran, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Pada program berkenaan, beliau turut menyampaikan bantuan ‘touch point’ berupa enjin dan peralatan perikanan, selain cek cura berjumlah RM100,000 bagi projek agropelancongan serta RM26,125 bagi program peningkatan produktiviti nelayan B40 kepada penerima terpilih.

Beliau turut meninjau tapak ‘slipway’ di Mersing bagi menilai keperluan penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur yang menyokong aktiviti perikanan tempatan yang memerlukan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan