KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Sempena Aidilfitri dan semangat perpaduan komuniti, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dengan kerjasama Malaysian Life Reinsurance Group Berhad (ML Re) menyumbang barangan keperluan asas bernilai RM25,000 kepada empat rumah kebajikan kanak-kanak di Lembah Klang.
Rumah kebajikan itu ialah Pertubuhan Anak Yatim & Asnaf An Naafi (Ampang, Selangor); Rumah Khidmat Bonda Maimon (Rawang, Selangor); Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak (Kepong, Kuala Lumpur); dan Persatuan Kebajikan Wen Hua (Kuala Lumpur & Selangor).
Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata sumbangan berkenaan bertujuan menyokong keperluan operasi harian, dan setiap rumah menerima barangan keperluan asas mengikut keperluan mereka, termasuk barangan runcit, keperluan diri, perkakas elektrik, kelengkapan sekolah, dan lain-lain keperluan.
“Barangan itu akan dihantar terus ke rumah kanak-kanak berkenaan, dan kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan operasi sambil menyokong kesejahteraan kanak-kanak dan remaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, LIAM, ML Re dan rakan perniagaan turut menganjurkan sambutan Aidilfitri untuk 120 kanak-kanak, remaja dan penjaga dari keempat-empat rumah berkenaan, yang diadakan di Bangunan AICB, di sini.
Menurut kenyataan itu, mereka yang berumur antara dua hingga 17 tahun, bersama penjaga masing-masing gembira menerima pemberian yang disumbangkan oleh 16 syarikat insurans hayat.
Antara pemberian itu ialah patung beruang, buku pendidikan, set alat tulis, buku nota, botol air, set keperluan diri, kemeja-T, dan kuih raya.
O’Dell berkata hari raya ialah masa untuk muhasabah, bersyukur dan mengeratkan silaturahim, selain menekankan kepentingan belas kasihan, kemurahan hati dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
“Di LIAM, kami percaya bahawa selain berperanan sebagai sebuah industri, kami mempunyai tanggungjawab untuk memberikan khidmat kepada komuniti. Majlis itu mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memberikan perubahan kecil tetapi bermakna dalam kehidupan orang lain,” katanya.
Mark juga memberikan penghargaan kepada penjaga dan warden rumah berkenaan atas dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi.
“Bagi pihak LIAM dan rakan perniagaan, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi dan pengorbanan anda. Kesabaran, ketabahan dan belas kasihan anda, telah membentuk kehidupan, memupuk keyakinan, dan memberikan asas yang diperlukan oleh golongan muda untuk terus melangkah dengan harapan dan bermaruah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi ML Re Datuk Kamaruddin Taib dalam kenyataan yang sama menyatakan bahawa ML Re percaya menyumbang kembali kepada komuniti adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai rakan industri.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan LIAM dan rakan perniagaannya untuk berkongsi belas kasihan dan kegembiraan dengan kanak-kanak serta remaja dari rumah kebajikan. Kami berharap sambutan hari ini membawa sinar kegembiraan dan memperlihatkan betapa pentingnya perpaduan, kepedulian dan keterangkuman dalam setiap perkara yang kita lakukan,” katanya.
Sepanjang 50 tahun lepas, LIAM dan rakan perniagaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk derma darah, sumbangan kepada rumah anak yatim dan warga emas, lawatan ke hospital, inisiatif belia dan kempen pendidikan kewangan, bertujuan menyokong komuniti yang kurang mendapat perhatian di seluruh Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara dan aktiviti LIAM, sila layari www.liam.org.my atau akses versi digital Laporan Tahunan 2025 terkini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial