JOHOR BAHRU, 1 April (Bernama) -- Johor komited mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara dan terus berada di barisan hadapan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), yang mencatat RM110.1 bilion pada 2025, tertinggi di kalangan semua negeri.
Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata negeri itu tidak akan berasa selesa meskipun mencatatkan prestasi kukuh, sebaliknya akan terus mempertingkat daya saing serta ekosistem pelaburan secara berterusan.
Beliau berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi pelan tindakan utama bagi memberikan kejelasan dan kepastian kepada pelabur baharu serta sedia ada, selain membolehkan negeri mengekalkan dan memperluas pelaburan semasa.
“Apa yang penting kini ialah Johor perlu mengekalkan momentum dan terus menjadi destinasi pilihan pelabur.
“Kita bukan sahaja bercakap mengenai usaha menarik pelaburan baharu, malah memperkukuh dan mengembangkan pelaburan sedia ada. JS-SEZ akan menangani ketidaktentuan serta menyediakan rangka kerja yang jelas kepada pelabur,” katanya ketika berucap pada Asia Summit on Advanced Innovation & Manufacturing 2026, di sini hari ini.
Usaha mempertingkat ketersambungan rentas sempadan Johor-Singapura turut dipercepat di bawah JS-SEZ, termasuk pelepasan imigresen menggunakan kod QR, sistem kargo digital serta Rapid Transit System (RTS) Link yang bakal beroperasi.
Hasni berkata RTS Link, yang dijadual mula beroperasi pada Januari 2027, dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala, sekali gus berpotensi mengubah corak perjalanan di satu daripada lintasan sempadan darat paling sibuk di dunia.
Laluan berkenaan kini merekodkan kira-kira 300,000 pergerakan harian, termasuk 100,000 penunggang motosikal.
“Kita tidak boleh berdepan sebarang gangguan dalam sistem, sama ada pelepasan kod QR, kargo digital mahupun RTS itu sendiri.
“Semua inisiatif ini mesti berfungsi dengan lancar bagi menyokong peningkatan pergerakan rentas sempadan,” katanya.
Hasni, yang juga Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor Singapura (JETCO), berkata penambahbaikan ketersambungan itu berpotensi mengubah trend perjalanan ulang-alik, dengan pergerakan dua hala antara Johor dan Singapura dijangka meningkat susulan sistem perjalanan yang lebih cekap.
Dari sudut perindustrian, Hasni berkata Johor kini menempatkan jumlah pusat data terbesar di Asia Tenggara, yang menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI negeri pada tahun lepas.
Bagaimanapun, beliau mengakui permintaan tinggi sektor itu terhadap bekalan elektrik dan air menimbulkan cabaran dari segi kelestarian, khususnya dalam konteks perubahan iklim dan kekangan sumber.
“Kita perlu beralih daripada kebergantungan kepada tenaga berasaskan arang batu kepada tenaga boleh baharu bagi memastikan Johor terus kekal menarik kepada pelabur, di samping menjamin kelestarian jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Kelestarian Johor bagi memacu inisiatif hijau serta penggunaan teknologi untuk menyokong peralihan tersebut, selain menggalakkan industri meningkatkan kecekapan tenaga.
Sebanyak 126 syarikat dikenal pasti mengurus penggunaan tenaga secara tidak cekap, dan kerajaan menawarkan insentif serta pelepasan cukai bagi menggalakkan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial