KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kerajaan meminta pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berkaitan harga minyak dan elektrik yang dikesan semakin berleluasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini, MCMC telah mengesan sebanyak 96 kandungan berita palsu berkaitan isu berkenaan di media sosial.
Menerusi mesej video hari ini, beliau berkata penyebaran maklumat tidak benar itu berlaku ketika negara berdepan cabaran luar biasa susulan krisis tenaga global sekali gus boleh menjejaskan kestabilan dan mengelirukan rakyat.
"Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin memadamkan kerenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat... berapa banyak berita-berita palsu tentang kenaikan harga minyak, tentang kenaikan harga barang kerana dasar-dasar yang tidak benar," katanya.
Perdana Menteri berkata tindakan tegas perlu diambil kerana penyebaran berita palsu itu dilihat sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan memberi kesan kepada rakyat.
"Maka, kita tidak ada pilihan melainkan memohon pihak berkuasa, baik PDRM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan kerana setakat ini, MCMC telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik di media sosial," katanya.
Beliau berkata tindakan menyebarkan maklumat tidak benar ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada negara dan masyarakat.
Katanya perbuatan itu dilakukan semata-mata untuk meraih keuntungan politik sempit tanpa mengambil kira kesan terhadap rakyat.
Sehubungan itu, Anwar menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat khususnya di media sosial.
"Jadi, saya ingin sekali lagi menyeru rakyat (agar) memilih, menyaring berita serta mencari fakta yang betul, dan cuba sama-sama memantau keadaan, semak dengan rapi serta mengambil langkah untuk menyelamatkan keluarga, masyarakat dan negara kita," katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan agar segala usaha kerajaan dalam mendepani cabaran semasa diberkati dan Malaysia terus berada dalam perlindungan Allah SWT.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial