AM

Krisis Tenaga: Selangor Adakan Mesyuarat Khas Jumaat Ini - MB

01/04/2026 10:20 PM

SHAH ALAM, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi menyelaras kaedah paling sesuai untuk membantu rakyat secara menyeluruh susulan krisis tenaga global.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan rentan serta memastikan sokongan berkesan kepada sektor industri di negeri itu.

Beliau berkata mesyuarat itu diadakan susulan Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan berlangsung esok, bagi meneliti pelan serta perancangan Kerajaan Persekutuan.

“Insya-Allah pasukan di negeri akan membuat persiapan yang sepenuhnya berlandaskan fakta dan maklumat terkini untuk membantu rakyat serta industri di Selangor.

“Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan dan mesyuarat berkala turut akan diadakan bagi memastikan langkah yang dirangka dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Dalam hantaran sama, Amirudin berkata beliau hari ini mengadakan Sidang Meja Bulat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membincangkan krisis Asia Barat serta implikasinya terhadap ekonomi dan rakyat Selangor.

Beliau berkata sidang khas itu menghimpunkan pakar ekonomi, geopolitik dan industri tenaga untuk berkongsi analisa serta unjuran awal kesan perang, selain dihadiri ketua beberapa anak syarikat milik kerajaan negeri yang terlibat secara langsung dengan krisis semasa.

“Tujuan sidang meja bulat khas ini adalah untuk mempersiapkan gerak kerja dan kerangka utama sebagai langkah kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi ketidaktentuan global, dengan mengambil kira peranan Selangor sebagai penyumbang utama sebanyak 26.2 peratus kepada KDNK negara.

“Sebarang implikasi terhadap Selangor pasti memberi kesan langsung kepada keseluruhan ekonomi Malaysia dan usaha hari ini adalah permulaan beberapa tindakan yang akan dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri untuk menyokong usaha yang sedang digerakkan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan Selangor berpengalaman menghadapi pelbagai cabaran besar sebelum ini seperti pandemik COVID-19, banjir besar Disember 2021 serta insiden letupan paip gas Putra Heights tahun lepas, yang menyaksikan kerajaan negeri dan rakyat berganding bahu untuk bangkit dan pulih.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan