GEORGE TOWN, 2 April (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) merancang melabur RM631 juta dalam perbelanjaan modal (CAPEX) bagi melaksanakan pelbagai projek bekalan air sepanjang tahun ini, sekali gus menjadi peruntukan tahunan terbesar dalam sejarah perkhidmatan air di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM387 juta atau 61.3 peratus diperuntukkan bagi lima projek infrastruktur kritikal di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030).
"Pertama, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Taman Mengkuang berkapasiti 114 juta liter sehari (JLH) serta kerja paip berkaitan. LRA ini di Seberang Perai Tengah (SPT) merupakan komponen ketiga di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) yang dijadualkan siap menjelang akhir tahun ini
“Apabila mula beroperasi, status Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) berkapasiti 86,400 juta liter (ML) akan berubah daripada 'empangan simpanan strategik ketika kemarau' kepada 'empangan dwifungsi'," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata projek-projek lain antaranya melibatkan LRA Sungai Perai, LRA Sungai Dua dan LRA Sungai Muda.
Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata baki 39 peratus daripada peruntukan CAPEX akan digunakan untuk pelbagai projek pemasangan atau penggantian paip; projek penggantian meter bagi menyokong penambahbaikan pengurusan air tidak berhasil (NRW); projek penaiktarafan LRA serta pembinaan kolam air baharu di Bukit Penara dan Bukit Dumbar.
Beliau berkata dalam laporan kewangan interim, PBA Holdings Bhd (PBAHB), iaitu syarikat pegangan tersenarai awam bagi PBAPP telah mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) belum diaudit sebanyak kira-kira RM115 juta bagi tahun kewangan 2025.
“Selepas pembayaran dividen kepada pemegang saham PBAHB, kira-kira RM100 juta daripada PAT 2025 akan disalurkan semula secara langsung sebagai pelaburan CAPEX PBAPP bagi 2026.
“PBAPP merancang untuk membiayai baki RM531 juta daripada peruntukan CAPEX 2026 melalui penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) di bawah program sukuk PBAPP bernilai RM5 bilion,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial