PASIR MAS, 2 April (Bernama) -- Empat pagar kawat berduri yang dipasang pihak berkuasa di beberapa pangkalan haram dekat tebing Sungai Golok disyaki telah dipotong oleh penyeludup untuk memasuki laluan berkenaan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tindakan itu dikesan selepas pihaknya mendapati pangkalan haram terbabit dipercayai aktif dengan kegiatan penyeludupan.
"Hasil lawatan yang dilakukan hari ini mendapati kawat berduri tersebut dipasang penyangkut supaya tidak kelihatan dipotong, walaupun sebenarnya ia boleh dilalui mereka (penyeludup) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke beberapa pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata kawat berduri itu telah dipasang pihak berkuasa sebelum Ramadan, justeru beliau akan mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan secara statik di kawasan berisiko tersebut.
"Penguatkuasaan oleh pihak PGA juga akan dijalankan lebih kerap dan ketat bagi mengekang sebarang cubaan rentas sempadan secara haram," katanya.
Mohd Yusoff berkata pihak berkuasa sempadan juga telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 daripada Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara bagi menyiapkan pemasangan kawat berduri di 12 pangkalan haram yang telah dirobohkan di Tumpat.
"Kita jangkakan pemasangan kawat berduri di keseluruhan kawasan itu pada pertengahan April ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial