PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN FASA KONSOLIDASI

23/09/2024 06:50 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan dalam julat kecil dan mengakhiri dagangan dengan lebih rendah pada Isnin susulan fasa konsolidasi selepas mencatat aliran peningkatan selama dua hari berturut-turut, kata penganalisis.

Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.52 mata atau 0.21 peratus kepada 1,665.30 daripada 1,668.82 pada akhir dagangan Jumaat.

Pasaran tempatan itu memulakan dagangan hari ini dengan menokok 1.09 mata kepada 1,669.91 dan menyaksikan aliran pergerakan dalam julat 1,658.48 hingga 1,671.62 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 675 berbanding 458 manakala 500 kaunter lain tidak berubah, 894 tidak diniagakan dan 30 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 3.36 bilion unit bernilai RM3.17 bilion daripada 4.19 bilion unit bernilai RM5.97 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata fasa konsolidasi itu dilihat sebagai positif kerana dapat mewujudkan asas lebih kukuh bagi meraih keuntungan di masa akan datang.

“Menerusi fasa yang lebih perlahan untuk sementara waktu, pasaran dapat mewujudkan paras sokongan baharu dan membuka laluan bagi aliran peningkatan selepas ini.

“Berikutan itu, kami menjangkakan indeks petunjuk utama akan diniagakan dalam julat 1,660-1,680 bagi minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi kurang memberangsangkan Bursa Malaysia itu diasak oleh kekurangan pemangkin baharu, berbeza dengan prestasi positif indeks ekuiti serantau.

“Pelabur lebih menumpukan pengumuman data awal Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan dan Perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) untuk Ogos yang dijadualkan lewat hari ini. Sebarang kejutan positif daripada data berkenaan berkemungkinan dapat memacu pasaran," katanya.

Menyentuh perkembangan serantau, Mohd Sedek berkata indeks komposit di China dan Hong Kong meningkat hari ini ketika peserta pasaran menjangkakan langkah rangsangan ekonomi kerajaan China akan menyokong pertumbuhan. 

Sehubungan itu, taklimat oleh beberapa pengawal selia kewangan yang dijadualkan esok dapat memberi perspektif lebih jelas mengenai inisiatif sokongan kewangan akan datang bagi melonjakkan pembangunan ekonomi.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing naik 10 sen kepada RM10.70 dan RM14.74, IHH Healthcare meraih satu sen kepada RM7.11 manakala CIMB turun 10 sen kepada RM8.34 dan Public Bank tidak berubah pada RM4.70. 

Kaunter aktif menyaksikan Globetronics Technology untung lapan sen kepada 69 sen manakala Capital A meraih tiga sen kepada 92 sen.

Bagaimanapun MY E.G. Services turun 3.5 sen kepada 91 sen, Ekovest dan Iskandar Waterfront City berkurangan setengah sen masing-masing kepada 38 sen dan 61.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan 33.60 mata kepada 12,505.15, Indeks FBM Emas Syariah susut 55.16 mata kepada 12,357.31, Indeks FBMT 100 turun 33.67 mata kepada 12,197.54, Indeks FBM 70 merosot 78.52 mata kepada 17,863.38 dan Indeks FBM ACE menguncup 17.06 mata kepada 5,185.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 10.03 mata kepada 19,698.84, Indeks Tenaga berkurangan 5.47 mata kepada 871.25, Indeks Perladangan susut 24.66 mata kepada 7,151.99, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.54 mata kepada 177.30.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 1.85 bilion unit bernilai RM2.95 bilion daripada 2.74 bilion unit bernilai RM5.72 bilion pada Jumaat.

Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 1.19 bilion unit bernilai RM131.30 juta daripada 1.05 bilion unit bernilai RM108.90 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 320.38 juta unit bernilai RM87.01 juta daripada 393.99 juta unit bernilai RM135.41 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 270.55 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (346.22 juta), pembinaan (216.36 juta), teknologi (270.82 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (117.68 juta), hartanah (291.41 juta), perladangan (17.79 juta), REIT (13.47 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (83.37 juta), penjagaan kesihatan (88.58 juta) telekomunikasi dan media (28.23 juta), pengangkutan dan logistik (35.75 juta), utilit (72.42 juta) dan amanah perniagaan (70,900).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan