PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP BERCAMPUR-CAMPUR DISOKONG BELIAN LEWAT SAHAM WAJARAN TINGGI

03/10/2024 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia berjaya pulih daripada penurunan sebelumnya untuk ditutup bercampur-campir pada Khamis apabila indeks utama mendapat sokongan daripada pembelian lewat dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui kaunter perkhidmatan kewangan.

Maybank dan Public Bank menerajui kenaikan, meningkat lapan sen dan empat sen masing-masing kepada RM10.54 dan RM4.57, menyumbang 2.94 mata kepada indeks petunjuk pasaran tempatan.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.24 mata, atau 0.14 peratus, untuk ditutup kepada 1,641.55. Indeks utama itu dibuka tinggi naik 1.39 mata kepada 1,640.70 dan berlegar antara paras 1,630.45 dan 1,643.82 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 504 berbanding 473, dengan 545 kaunter tidak berubah, 890 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.29 bilion unit bernilai RM2.52 bilion daripada 3.86 bilion unit bernilai RM2.73 bilion pada Rabu.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata bursa tempatan, yang pada awalnya mendapat tekanan daripada ketegangan geopolitik di Timur Tengah, pulih semula apabila pelabur memburu saham berharga rendah.

“Aktiviti membeli saham berharga rendah dalam kaunter perbankan, perjudian dan tenaga membantu menaikkan FBM KLCI.

“Walaupun ketidaktentuan global, sentimen pasaran bertambah baik menjelang akhir sesi dagangan, yang membawa kepada minat belian baharu,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata, pasaran ekuiti tempatan dijangka terus diniagakan berhati-hati.

“Dengan penilaian pada harga rendah dan keadaan ekonomi yang bertambah baik, aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka berterusan.

“Kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,630 hingga 1,645 menjelang hujung minggu dengan paras rintangan serta-merta dijangkakan pada 1,670 dan paras sokongan pada 1,635,” katanya.

Mohd Sedek Jantan, ketua penyelidikan pelaburan di UOB Kay Hian Wealth Advisors berkata walaupun para pelabur mengalu-alukan pakej rangsangan terbaharu China, keberkesanan jangka panjangnya masih menjadi tanda tanya.

“Memandangkan hasil kurang memberangsangkan daripada langkah-langkah fiskal sebelum ini, kebimbangan terhadap kemampanan impak daripada (pakej rangsangan terkini) ke atas pasaran adalah wajar.

“Selain itu, dengan pasaran saham China ditutup berikutan cuti Golden Week pada minggu ini, respons terhadap pakej rangsangan terbaharu yang diumumkan pada hari Rabu itu hanya boleh dinilai pada minggu depan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, CIMB Group naik satu sen kepada RM7.99, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM5.77 manakala Tenaga Nasional susut 2.0 sen kepada RM14.28. IHH Healthcare dan Hong leong Bank tidak berubah, masing-masing pada RM7.24 dan RM21.30.

Dalam kalangan kaunter cergas, Talam Transform susut setengah sen kepada 2.0 sen, Capital A turun 2.5 sen kepada 91 sen, MYeG jatuh satu sen kepada 88 sen dan Focus Dynamics tidak berubah pada 2.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 3.62 mata kepada 12,269.77, Indeks FBM Emas Shariah susut 22.73 mata kepada 12,181.40 dan Indeks FBMT 100 menambah 2.27 mata kepada 11,963.29. Indeks FBM 70 menyusut 49.10 mata kepada 17,296.23 manakala Indeks FBM ACE turun 10.07 mata kepada 5,115.75.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 9.52 mata kepada 7,181.57, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.64 mata kepada 176.82 manakala Indeks Tenaga naik 6.71 mata kepada 857.81. Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 96.21 mata kepada 19,261.05.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.41 bilion unit bernilai RM2.22 bilion daripada 1.68 bilion unit bernilai RM2.34 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.56 bilion unit bernilai RM216.43 juta daripada 1.76 bilion unit bernilai RM280.83 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 306.83 juta unit bernilai RM77.76 juta daripada 413.31 juta unit bernilai RM102.63 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 313.66 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (209.43 juta), pembinaan (182.59 juta), teknologi (143.55 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (96.31 juta), hartanah (207.45 juta), perladangan (27.46 juta), REITs (7.78 juta), dana tertutup (18.100), tenaga (68.23 juta), penjagaan kesihatan (44.33 juta), telekomunikasi dan media (21.23 juta), pengangkutan dan logistik (30.23 juta), utiliti (58.26 juta), dan amanah perniagaan (551,600 juta).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan