PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI SUSULAN PARAS EKSPORT LEBIH KUKUH

21/10/2024 09:27 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin berikutan kadar eksport yang lebih kukuh dan jangkaan pengeluaran yang lemah dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pengeluaran MSM telah memasuki tempoh hasil yang lebih rendah secara bermusim, yang kebiasaannya mengakibatkan pengeluaran berkurangan.

“Ini dijangka mengurangkan paras stok keseluruhan negara, yang seterusnya akan mewujudkan paras sokongan bagi harga MSM. Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 dan rintangan pada RM4,380,” katanya kepada Bernama.

Menurut syarikat pemeriksaan bebas AmSpec Agri Malaysia, eksport produk minyak sawit Malaysia untuk tempoh 1-20 Oktober meningkat 9.5 peratus kepada 976,822 tan daripada 892,017 tan yang dieksport pada 1-20 September.

Pada penutupan dagangan hari ini, kontrak bulan semerta November 2024 meningkat RM48 kepada RM4,366 satu tan manakala Disember 2024 naik RM48 kepada RM4,322 dan Januari 2025 menambah RM44 kepada RM4,299.

Kontrak Februari 2025 naik RM36 kepada RM4,259 satu tan, Mac 2025 melonjak RM33 kepada RM4,222 dan April 2025 menambah RM27 kepada RM4,179.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 54,971 lot daripada 104,397 pada Jumaat manakala kepentingan terbuka lebih rendah kepada 255,657 kontrak daripada 258,075 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan tidak berubah pada RM4,400 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan