PASARAN > BERITA

KEKURANGAN PEMANGKIN, BURSA MALAYSIA DITUTUP LEBIH RENDAH

22/10/2024 06:38 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) --  Bursa Malaysia mengakhiri dagangan dalam wilayah negatif pada Selasa susulan fasa konsolidasi yang berterusan berikutan kekurangan pemangkin bagi memacu minat belian, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.14 mata atau 0.19 peratus kepada 1,642.54 daripada paras 1,645.68, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.78 mata kepada 1,647.46 dan bergerak dalam julat 1,642.35 hingga 1,648.31 sepanjang dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 509 berbanding 460 dengan 540 kaunter tidak berubah, sebanyak 972 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.67 bilion unit bernilai RM2.49 bilion berbanding 3.02 bilion unit bernilai RM2.19 bilion, semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata para pelabur dalam proses menentukan pendirian masing-masing selepas mendapat maklumat perincian Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Oktober lepas dan pada masa sama bersedia menunggu pelaporan korporat Amerika Syarikat (AS) akan datang.

“Prestasi hari ini turut dipengaruhi oleh saham-saham AS yang susut daripada paras tertinggi dicatatkan semalam ketika sebahagian daripada momentum peningkatan di Wall Street mulai suram,” katanya kepada Bernama.

Dalam dagangan awal hari ini, indeks FBM KLCI mencecah paras 1,648, didorong oleh keuntungan diraih oleh saham-saham telekomunikasi, kewangan dan pengguna.

Selain itu, sektor teknologi turut mencatat pertumbuhan kukuh dalam Indeks Teknologi Bursa Malaysa apabila terus meningkat untuk hari kelima berturut-turut.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata saham-saham Asia juga mengakhiri dagangan lebih rendah susulan prestasi negatif Wall Street ketika pelabur kekal berhati-hati diasak ketidaktentuan mengenai kadar faedah serta pilihan raya presiden negara itu.

“Bagi bursa tempatan, indeks penanda aras berkemungkinan diniagakan mendatar dengan paras sokongan pada 1,640 dan seterusnya 1,630. Faktor-faktor seperti pengumuman prestasi pendapatan korporat dan kemungkinan perubahan dalam kadar faedah juga menyebabkan pelabur lebih selesa berada di luar pasaran.

“Berikutan ketiadaan pemangkin baharu, FBM KLCI dijangka menyaksikan dagangan dalam julat 1,640-1,660 bagi tempoh berbaki minggu ini yang memberi sokongan dan rintangan utama,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB Group susut empat sen kepada RM10.62 dan RM8.16, Public Bank turun dua sen kepada RM4.55, Tenaga Nasional merosot 18 sen kepada RM14.46 manakala IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM7.23.

Kaunter aktif menyaksikan Niche Capital Emas naik satu sen kepada 17.5 sen, MY E.G. Services dan Alpha IVF turun setengah sen kepada 88.5 sen dan 36 sen manakala Aizo Group tidak berubah pada 14.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan sebanyak 2.20 mata kepada 12,366.27 dan Indeks FBM ACE turun 7.03 mata kepada 5,101.91.

Indeks FBMT 100 sebaliknya meningkat 0.33 mata kepada 12,071.59, Indeks FBM 70 meraih 87.36 mata kepada 17,830.30 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 24.83 mata kepada 12,300.47

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 22.68 mata kepada 19,454.52 dan Indeks Tenaga turun 1.75 mata kepada 859.33. 

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.18 mata kepada 177.28 dan Indeks Perladangan menambah 35.69 mata kepada 7,276.86.

Jumlah dagangan Pasaran Utama kekal pada 1.39 bilion unit dengan nilai lebih tinggi sebanyak RM2.23 bilion daripada RM1.84 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran berkurangan kepada 894.24 juta unit bernilai RM113.57 juta daripada 1.11 bilion unit bernilai RM171.12 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 376.79 juta unit bernilai RM138.19 juta berbanding 512.60 juta unit bernilai RM173.23 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 285.63 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (276.26 juta), pembinaan (110.59 juta), teknologi (190.36 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (77.45 juta), hartanah (150.57 juta), perladangan (18.55 juta), REIT (21.42 juta), dana tertutup (304,500), tenaga (94.45 juta), penjagaan kesihatan (68.99 juta), telekomunikasi dan media (27.13 juta), pengangkutan dan logistik (30.84 juta), utiliti (41.80 juta), dan amanah perniagaan (717,900).

-- BERNAMA   

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan