PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI MESKIPUN PRESTASI WALL STREET BERCAMPUR-CAMPUR

23/10/2024 10:50 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat dalam sesi dagangan awal pada Rabu walaupun prestasi semalaman Wall Street bercampur-campur ketika peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan penurunan kadar faedah kurang agresif pada bulan depan, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.57 mata kepada 1,643.11 daripada 1,642.54 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 1.67 mata kepada 1,644.21.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 215 berbanding 162 manakala 286 tidak berubah, 1,841 tidak diniagakan dan 15 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 372.65 juta unit bernilai RM149.67 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen bercampur-campur di Wall Street disebabkan oleh peniaga masih dalam proses menerima laporan pendapatan korporat pada masa ini.

Selain itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat pada 4.20 peratus.

“FBM KLCI pula mengekalkan fasa konsolidasi untuk ditutup lebih rendah pada Selasa berikutan ramai yang masih memikirkan impak selepas pembentangan Belanjawan 2025 (pada 18 Oktober lepas). 

"Jumlah dagangan harian kekal rendah ketika permulaan musim pelaporan pendapatan yang turut menyaksikan sentimen berhati-hati," katanya kepada Bernama.

Thong turut menjangkakan dagangan kekal hambar hari ini dengan pergerakan indeks berkenaan dalam julat 1,640 - 1,650.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB Group masing-masing kekal pada RM10.62 dan RM8.16. 

Public Bank dan IHH Healthcare pula masing-masing naik satu sen kepada RM4.56 dan RM7.24 manakala Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM14.44. 

Bagi kaunter aktif, Ingenieur Gudang meraih setengah sen kepada 5.5 sen, Capital A dan Niche Capital Emas masing-masing naik satu sen kepada 98.5 sen dan 18.5 sen, JCY International susut setengah sen kepada 41 sen manakala Dataprep tidak berubah pada 17 sen. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 6.33 mata kepada 12,372.60, Indeks FBM ACE meningkat 0.16 mata kepada 5,102.07, Indeks FBMT 100 meningkat 7.23 mata kepada 12,078.82, Indeks FBM 70 meraih 21.83 mata kepada 17,852.13 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 6.97 mata kepada 12,307.44.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 0.09 mata kepada 859.24, Indeks Produk dan Perkhidmatan Pengguna turun 0.02 mata kepada 177.26 manakala Indeks Perladangan berkurangan 5.69 mata kepada 7,271.17.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 21.60 mata kepada 19,476.12. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan