PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DITUTUP TINGGI SUSULAN KEBIMBANGAN BEKALAN GETAH ASLI TERHAD

28/10/2024 06:22 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin disokong oleh kebimbangan bekalan getah asli yang terhad disebabkan ramalan cuaca buruk di negara pengeluar utama, kata seorang peniaga. 

Menurut agensi meteorologi Thailand, hujan lebat mungkin menyebabkan banjir kilat dari 27 Okt hingga 2 Nov, 2024.

Peniaga itu berkata sentimen juga dipacu oleh pembelian berterusan, disokong oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh prestasi lemah pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan petunjuk bercampur-campur mengenai ekonomi China dan berlaku penurunan dalam harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Dilaporkan hasil fiskal China dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024 susut 2.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas manakala harga minyak merudum lebih US$3 setong pada Isnin selepas serangan balas Israel ke atas Iran pada hujung minggu lepas, tidak mengganggu kemudahan minyak dan nuklear Tehran serta tidak mengganggu bekalan tenaga.

Pada masa ini, penanda aras minyak mentah Brent berkurang 5.42 peratus kepada US$71.94 setong.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM 20) meningkat sebanyak lapan sen kepada 863.0 sen sekilogram manakala lateks pukal berkembang kepada dua sen kepada 748.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 869.0 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 748.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan