PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN FBM KLCI DIJANGKA ALAMI DAGANGAN TIDAK MENENTU MINGGU DEPAN

02/11/2024 10:51 AM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam sentimen tidak menentu minggu depan menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 6 hingga 7 November ini dijangka memberikan pengaruh yang stabil di tengah-tengah ketidaktentuan yang didorong pilihan raya berkenaan.

“Walaupun keputusan pilihan raya itu mungkin akan membentuk sentimen pasaran AS, kami menjangka kesan langsung yang minimum terhadap pasaran Malaysia kerana pelabur tempatan sebahagian besarnya mengambil sikap berhati-hati.

“Sehubungan itu, pendekatan tunggu dan lihat mungkin mendominasi dagangan, dengan pelabur di Malaysia memantau teliti reaksi Wall Street dan mempertimbangkan implikasi terhadap dasar ekonomi AS,” katanya.

Konsensus pasaran semasa menjangkakan penurunan kadar sebanyak 25 mata asas, merendahkan kadar dana persekutuan kepada 4.50-4.75 peratus.

Langkah ini mencerminkan penurunan inflasi ke arah sasaran Rizab Persekutuan AS iaitu 2.0 peratus dan peningkatan kadar pengangguran AS, justeru memperlihatkan pasaran buruh adalah lebih lemah.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng menjangka penurunan yang berlaku baru-baru ini apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut di bawah paras sokongan utama 1,600, menyediakan permulaan yang menarik bagi pelabur jangka masa pendek dan panjang.

Beliau turut mengunjurkan minat yang berterusan terhadap kaunter perladangan ketika harga minyak sawit mentah meningkat.

Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak bulan semerta November 2024 dan Disember 2024 masing-masing susut 15.5 mata kepada 1,605.0 dan 1,608.0.

Kontrak Mac 2025 masing-masing turun 14.5 mata kepada 1,596.5 manakala kontrak Jun 2025 yang baru diperkenalkan berada pada 1,595.0.

Jumlah dagangan melonjak kepada 243,353 lot daripada 64,552 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 42,202 kontrak daripada 74,284 kontrak sebelum ini.

Berasakan Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI susut 14.32 mata kepada 1,603.98 daripada 1,618.30 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan