PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI MENJELANG KEPUTUSAN MESYUARAT MPC

05/11/2024 07:07 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan awal dengan ditutup tinggi hari ini apabila belian pada saat-saat akhir mendorong indeks petunjuk utama mencapai paras tertinggi harian berikutan jangkaan pasaran bahawa Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada mesyuarat esok.

Indeks serantau utama khususnya di China dan Hong Kong mencatatkan kenaikan ketara selepas data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China bagi Oktober memperlihatkan pertumbuhan lebih kukuh berbanding jangkaan dalam sektor perkhidmatan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.27 mata atau 0.26 peratus kepada 1,620.70 berbanding 1,616.43 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.77 mata lebih tinggi kepada 1,618.20 dan seterusnya mencatat paras paling rendah 1,613.91 dalam sesi dagangan awal sebelum meraih momentum peningkatan pada sesi dagangan akhir.

Sentimen pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 512 berbanding 476 manakala 496 kaunter tidak berubah, 895 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.58 bilion unit bernilai RM2.47 bilion berbanding 2.41 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi pasaran tempatan yang menggalakkan turut disokong oleh minat belian yang berterusan dalam saham perladangan.

“Kami mengekalkan unjuran optimis namun berhati-hati  terhadap pasaran tempatan. Walaupun sentimen pasaran menunjukkan isyarat penambahbaikan, kami sedar jangkaan pelabur mungkin berubah-ubah dengan perubahan dalam landskap makroekonomi.

“Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan pada paras 1,610 hingga 1,630 iaitu paras sokongan dan paras rintangan utama,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI menunjukkan prestasi positif semasa pilihan raya Amerika Syarikat (AS), menunjukkan daya tahan dalam menghadapi peristiwa penting ekonomi.

“Kekukuhan indeks mencerminkan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur sebelum ini terutama kira-kira dua minggu lepas, diikuti dengan aliran masuk yang konsisten minggu ini.

“Peserta pasaran dilihat lebih neutral dengan impak pilihan raya terhadap Bursa Malaysia memandangkan kedua-dua parti AS telah menggariskan dasar yang menyokong perniagaan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 10.0 sen kepada RM10.54, CIMB Group naik 8.0 sen kepada RM8.12, Public Bank menokok 1.0 sen kepada RM4.43, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.08, dan IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM7.31.

Bagi saham aktif, Cape EMS naik 1.5 sen kepada 36 sen, Sorento Capital menambah 3.0 sen kepada 42.5 sen, Aizo Group menokok 1.0 sen kepada 15.5 sen, Ta Win Holdings menambah 1.0 sen kepada 2.5 sen dan OB Holdings meningkat setengah sen kepada 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 21.44 mata kepada 12,227.24, Indeks FBMT 100 meningkat 21.63 mata kepada 11,938.82 dan Indeks FBM ACE menambah 10.27 mata kepada 5,069.08.

Indeks FBM Emas Syariah pula susut 10.47 mata kepada 12,184.81 dan Indeks FBM 70 berkurangan 4.14 mata kepada 17,736.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 118.85 mata kepada 19,167.53, Indeks Perladangan menambah 32.54 mata kepada 7,612.43 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.59 mata kepada 172.31 dan Indeks Tenaga susut 5.05 mata kepada 837.35.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.34 bilion unit bernilai RM2.16 bilion berbanding 1.32 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 783.54 juta unit bernilai RM134.61 juta berbanding 609.49 juta unit bernilai RM104.46 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 463.49 juta unit bernilai RM171.97 juta berbanding 481.89 juta unit bernilai RM190.91 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 207.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (346.35 juta), pembinaan (109.62 juta), teknologi (118.94 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.86 juta), hartanah (139.27 juta), perladangan (51.16 juta), REIT (13.68 juta), dana tertutup (40,300), tenaga (112.61 juta), penjagaan kesihatan (79.12 juta), telekomunikasi dan media (28.37 juta), pengangkutan dan logistik (26.15 juta), utiliti (33.38 juta), dan amanah perniagaan (370,100).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan