PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP KUKUH BERBANDING DOLAR AS SUSULAN KEYAKINAN PASARAN

08/11/2024 08:23 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS hari ini didorong oleh keyakinan pasaran yang meluas.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3800/3850 berbanding dolar AS daripada 4.4020/4065 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menurunkan kadar dana persekutuan (FFR) sebanyak 25 mata asas memainkan peranan penting dalam memupuk keyakinan iaitu Fed komited melonggarkan dasar monetarinya.

Beliau berkata, perkara itu boleh mengurangkan jurang di antara FFR dengan kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia.

"Konsep ini diperkukuhkan lagi oleh keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia semalam untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus selain mengulangi penilaian mereka mengenai impak perubahan dasar utama yang boleh menyebabkan inflasi lebih tinggi pada 2025," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam juga menegaskan keyakinan itu meningkatkan ringgit, membolehkannya didagangkan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat sedikit berbanding pound Sterling kepada 5.6765/6830 daripada 5.6821/6879 ketika ditutup pada Khamis dan bertambah sedikit berbanding euro kepada 4.7212/7266 daripada 4.7317/7365.

Namun, ringgit sedikit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8763/8798, berbanding 2.8597/8629 semalam.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3149/3190 berbanding 3.3178/3216 ketika ditutup semalam dan kekal hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 279.4/279.9 berbanding 279.6/280.0 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.53 berbanding 7.49/7.51 dan melemah berbanding baht Thailand kepada 12.8710/8925 berbanding 12.8290/8492 semalam.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan