PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI, JEJAKI PENINGKATAN DI WALL STREET

12/11/2024 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi, kembali meningkat berikutan prestasi Wall Street yang lebih kukuh dalam tempoh semalaman, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.10 mata kepada 1,615.36 berbanding 1,609.26 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.76 mata lebih tinggi kepada 1,610.02.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 252 berbanding 155, dengan 288 kaunter tidak berubah, 1,709 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 208.65 juta saham bernilai RM109.88 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran saham AS terus meningkat berikutan keyakinan susulan kemenangan Donald Trump, di samping pengukuhan dolar AS.

"Dengan faktor positif ini, kami menjangka minat belian dalam bursa tempatan, terutama dalam sektor berorientasikan eksport seperti teknologi dan sarung tangan," katanya dalam nota hari ini.

Firma pembrokeran saham itu juga mengunjurkan bekalan minyak sayuran yang lebih terhad  berikutan peningkatan mandat biodiesel di Indonesia, yang boleh menyokong perladangan tempatan seperti Johor Plantations Group Bhd, selain didorong oleh harga minyak mentah yang kukuh.

"Selain itu, kami menjangka beberapa saham pembinaan dan bahan binaan akan meraih momentum semasa musim pelaporan pendapatan, disokong oleh pelaburan pusat data," katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd naik 10 sen kepada RM10.44, CIMB Group menambah enam sen kepada RM8.22, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.44, Tenaga Nasional naik 12 sen kepada RM14.22, dan IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM7.21.

Dalam saham aktif, Mpire Global naik tiga sen kepada 23 sen, manakala Aizo Group dan Crest Group masing-masing meningkat setengah sen kepada 15.5 sen dan 34 sen.

Capital A naik dua sen kepada RM1 manakala Azam Jaya kekal tidak berubah pada RM1.09.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah naik 44.96 mata kepada 12,219.92 manakala Indeks FBM Emas menokok 54.55 mata kepada 12,234.43.

Indeks FBMT 100 naik 55.01 mata kepada 11,936.10.

Indeks FBM 70 meningkat 118.93 mata kepada 17,868.15 dan Indeks FBM ACE naik 25.07 mata kepada 5,151.70.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.12 mata kepada 171.41, Indeks Tenaga berkurangan 2.05 mata kepada 830.76 manakala Indeks Perladangan naik 38.25 mata kepada 7,801.13 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 118.08 mata kepada 19,179.86.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan