PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS

12/11/2024 08:08 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Ringgit terus ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan mata wang itu terus meningkat menjelang kenyataan yang akan dikeluarkan oleh pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) minggu ini dan penerbitan data inflasi AS esok, kata seorang ahli ekonomi. 

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu turun kepada 4.4365/4400 berbanding dolar AS 4.4090/4120 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur berkemungkinan bimbang mengenai kemungkinan berlakunya perubahan dasar AS, yang akan menjejaskan keputusan penurunan kadar faedah pada 2025.

"Keadaan ini menyebabkan dolar AS berada dalam kedudukan yang baik, manakala ringgit serta mata wang pesat membangun yang lain rata-rata lemah hari ini berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pelabur akan memantau dengan teliti data Indeks Harga Pengguna AS (CPI), yang akan diterbitkan malam esok.

"Selain itu, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 17 dan 18 Disember ini akan memberikan sedikit pandangan sama ada Fed cenderung untuk menyemak semula unjuran inflasi dan kadar dana Fed," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.6889/6934 daripada 5.6872/6910 ketika ditutup pada Isnin, merosot berbanding euro kepada 4.7111/7148 daripada 4.7088/7120 dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8788/8812 daripada 2.8701/8722.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN, kecuali baht Thailand, naik kepada 12.7456/7608 daripada 12.8243/8390 ketika ditutup pada Isnin.

Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3143/3174 daripada 3.3120/3148, turun berbanding peso Filipina kepada  7.54/7.55 daripada 7.52/7.53 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 281.0/281.5 daripada 280.9/281.3 sebelum itu.

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan