PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA MELANTUN SEMULA DISOKONG AKTIVITI MEMBELI SAHAM BERHARGA RENDAH

18/11/2024 07:51 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan pada minggu lepas untuk ditutup tinggi hari ini, disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah walaupun prestasi lemah di Wall Street dan kebanyakan bursa serantau lain, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.60 mata untuk ditutup kepada 1,604.04 daripada paras 1,592.44 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka tinggi naik 0.47 mata kepada 1,592.91, bergerak antara paras 1,591.49 dan 1,605.41 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, suasana pasaran mencatatkan prestasi tidak menentu dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 529 berbanding 484 manakala 486 kaunter kekal tidak berubah, 958 tidak diniagakan dan 15 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.96 bilion unit bernilai RM2.23 bilion berbanding 2.68 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks utama serantau mencatatkan trend bercampur-campur di tengah-tengah sentimen berhati-hati terhadap kemungkinan dasar inflasi Presiden Donald Trump dan jangkaan rangsangan selanjutnya daripada China.

“Perhatian beralih kepada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell yang akan menyampaikan ucapannya tidak lama lagi, ketika pasaran mencari arah hala tuju dasar monetari, dengan Fed mengulangi pendiriannya yang bergantung kepada data selepas menurunkan kadar faedah pada minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Thong mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap pasaran tempatan kerana FBM KLCI masih kekal dalam fasa penstabilan, tidak menunjukkan petanda jelas akan meningkat semula. 

“Pasaran diniagakan tidak berubah, dengan pemangkin terhad untuk merangsang peningkatan. Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran berada dalam jajaran 1,600-1,630 bagi minggu ini,” katanya.

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mengakhiri dagangan hari itu dengan prestasi positif, dipacu oleh aliran masuk kukuh daripada pelabur domestik.

Beliau berkata kenaikan diteraju oleh saham berkaitan aluminium, berikutan keputusan China baru-baru ini untuk memansuhkan rebat cukai ke atas eksport aluminium.

Mohd Sedek berkata prestasi sektor di Bursa Malaysia juga mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia.

“Indeks Perladangan dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mencatatkan prestasi tinggi, disokong oleh angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2024 yang dikeluarkan Jumaat minggu lepas.

“Data ini menunjukkan sumbangan penting sektor pembuatan dan pertanian untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB menokok 2.0 sen kepada RM8.21, Public Bank meningkat 3.0 sen kepada RM4.50, Tenaga Nasional menambah 16.0 sen kepada RM14.36, manakala Maybank susut 2.0 sen kepada RM10.34 dan IHH Healthcare turun 1.0 sen kepada RM7.22.

Dalam kalangan saham cergas, Top Glove menambah 1.0 sen kepada RM1.11, Johor Plantations melonjak 5.0 sen kepada RM1.38, Cape EMS turun 1.5 sen kepada 38.0 sen, manakala Classita dan EA Holdings tidak berubah masing-masing pada 6.5 sen dan setengah sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 90.32 mata kepada 12,113.62, Indeks FBM Emas menambah 67.54 mata kepada 12,172.86, Indeks FBMT 100 meningkat 69.62 mata kepada 11,875.82, Indeks FBM ACE naik 27.93 mata kepada 5,175.09 dan Indeks  FBM 70 menokok 45.01 mata kepada 17,863.89.   

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.98 mata kepada 170.25, Indeks Tenaga meningkat 0.70 mata kepada 827.87, Indeks Perladangan melonjak 79.31 mata kepada 7,705.49 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 53.70 mata kepada 19,210.54.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengukuh kepada 1.60 bilion unit bernilai RM1.99 bilion daripada 1.33 bilion unit bernilai RM2.39 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 860.16 juta unit bernilai RM116.59 juta daripada 811.06 juta unit bernilai RM98.18 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 491.39 juta unit bernilai RM125.59 juta berbanding 534.84 juta unit bernilai RM163.10 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 659.26 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (292.49 juta), pembinaan (71.09 juta), teknologi (95.60 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (75.08 juta), hartanah (114.87 juta), perladangan (57.55 juta), REIT (18.50 juta), dana tertutup (25,000), tenaga (70.01 juta), penjagaan kesihatan (71.42 juta), telekomunikasi dan media (18.71 juta), pengangkutan dan logistik (24.65 juta), utiliti (32.98 juta), dan amanah perniagaan (44,500).

-- BERNAMA   

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan