PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI, JEJAKI PRESTASI BERCAMPUR-CAMPUR DI WALL STREET

20/11/2024 10:23 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dalam persekitaran prestasi bercampur-campur di Wall Street kerana sentimen keseluruhannya dipengaruhi oleh perkembangan terkini dalam konflik antara Rusia dan Ukraine.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.57 mata kepada 1,604.91 daripada 1,602.34 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.54 mata kepada 1,602.88.

Suasana pasaran positif dengan 179 kaunter untung mengatasi 130 kaunter rugi manakala 243 kaunter kekal tidak berubah, 1,914 saham tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 179.43 juta unit bernilai RM93.75 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata hasil 10 tahun Perbendaharaan Amerika Syarikat telah merosot kepada 4.39 peratus manakala Nasdaq sebahagian besarnya dirangsang oleh Nvidia menjelang keputusan pendapatannya yang akan diumumkan lewat hari ini.

“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng mencatatkan trend peningkatan walaupun prestasi menyederhana kerana prospek itu dirangsang oleh hasrat China untuk meningkatkan lebih banyak sokongan untuk pasaran kewangan menerusi lebih banyak penyenaraian syarikat China, akses pasaran lebih baik dan terbitan bon perbendaharaan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Thong kekal optimistik bahawa aktiviti membeli saham ketika harga murah akan berlaku, justeru beliau menjangkakan indeks akan berada dalam dalam julat antara 1,600-1,610 hari ini.

Dalam saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat 2.0 sen kepada RM4.46, Maybank dan CIMB turun 2.0 sen masing-masing kepada RM10.22 and RM8.22 manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM14.42 and RM7.26.

Bagi kaunter aktif, Silver Ridge menambah 1.0 sen kepada 57.5 sen, manakala Cape EMS merosot 2.0 sen kepada 36.5 sen, Life Water turun 1.0 sen kepada 93 sen, Yew Lee Pacific Group jatuh 0.5 sen kepada 45 sen dan TCS Group tidak berubah pada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 37.75 mata kepada 12,182.61, Indeks FBM Emas melonjak 26.70 mata kepada 12,202.81, Indeks FBMT 100 naik 27.41 mata kepada 11,904.79, Indeks FBM 70 menambah 72.17 mata kepada 17,990.32 dan Indeks FBM ACE menokok 16.40 mata kepada 5,206.66.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 5.59 mata kepada 835.79, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 0.94 mata kepada 19,125.16, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan melonjak 0.47 mata kepada 170.90 dan Indeks Perladangan meningkat 7.75 mata kepada 7,672.21.  

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan