KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini di tengah-tengah prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur.
Pada masa sama, niaga hadapan Amerika Syarikat (AS) turut susut berikutan pengumuman Nvidia yang mencatat perolehan hasil lebih rendah daripada jangkaan dan menandakan pertumbuhan pesatnya kini menghampiri hadnya.
Setakat 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan sebanyak 1.60 mata kepada 1,596.58 berbanding pada paras 1,598.18, semalam.
Indeks itu dibuka menokok 1.63 mata lebih tinggi pada 1,599.81.
Bagaimanapun, pasaran meluas positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 194 berbanding 167 manakala 271 kaunter kekal tidak berubah, 1,834 tidak didagangkan dan 23 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 164.23 juta unit bernilai RM112.83 juta.
Mengulas Nvidia, Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi itu kurang daripada jangkaan kerana walaupun penganalisis optimistik, namun syarikat itu berkemungkinan tidak dapat merealisasikannya.
“Kalangan peniaga akan terus memantau beberapa peristiwa penting termasuk jualan rumah sedia ada AS; tuntutan pengangguran dan indeks keyakinan pengguna di zon Eropah.
“(Di peringkat tempatan) menjelang musim cuti akhir tahun ini, kami kekal yakin terhadap prospek industri pelancongan dan penerbangan yang disokong oleh momentum dicatatkan AirAsia X Bhd dan Capital A Bhd," katanya.
Firma pembrokeran itu juga menyifatkan konflik Ukraine-Rusia yang meruncing mungkin mewujudkan peluang bagi saham berkaitan emas manakala dolar AS yang lebih kukuh serta potensi pentadbiran baharu Donald Trump melaksanakan tarif, akan terus memihak kepada sektor berorientasikan eksport seperti teknologi dan sarung tangan.
"Selain itu, kami juga optimis mengenai sektor pembinaan, hartanah dan bahan binaan yang mungkin meraih pertumbuhan momentum pendapatan yang didorong oleh pelaburan membabitkan pusat data awal pada tahun ini," katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menokok 6.0 sen kepada RM10.18, CIMB meraih 3.0 sen kepada RM8.24, Tenaga Nasional berkurangan 18.0 sen kepada RM14.12, IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM7.24 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.41.
Bagi saham aktif, MY E.G. Services meraih 2.0 sen kepada 90 sen, Perdana Petroleum meningkat setengah sen kepada 29 sen, Sealink International naik 3.5 sen kepada 31 sen, Sarawak Cable menokok 2.5 sen kepada 11.5 sen namun Reneuco turun setengah sen kepada 4.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Shariah susut 19.86 mata kepada 12,155.07, Indeks FBM Emas turun 6.56 mata kepada 12,159.32, Indeks FBMT 100 berkurangan 7.59 mata kepada 11,859.21 manakala Indeks FBM 70 naik 4.34 mata kepada 17,980.99 dan Indeks FBM ACE menambah 4.38 mata kepada 5,193.98.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat sebanyak 43.22 mata kepada 19,066.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.62 mata kepada 171.56, Indeks Tenaga turun 0.41 mata kepada 828.50 dan Indeks Perladangan menguncup 33.57 mata kepada 7,641.05.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial