PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DITUTUP TINGGI DIDORONG OLEH KENAIKAN DALAM NIAGA HADAPAN GETAH SHANGHAI

02/12/2024 06:47 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi hari ini, didorong oleh kenaikan mendadak dalam niaga hadapan getah Shanghai selain disokong oleh data ekonomi China yang positif, kata seorang peniaga.

Beliau berkata harga juga disokong oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang terhad akibat hujan lebat di negara pengeluar utama.

“Kenaikan selanjutnya dihadkan oleh harga minyak mentah bercampur-campur dan pasaran niaga hadapan getah serantau.

"Peniaga juga berhati-hati dalam mengawasi ketegangan perdagangan yang semakin meningkat disebabkan oleh dasar tarif baharu AS,” kata peniaga itu kepada Bernama.

Sementara itu, selatan Thailand terus mengalami hujan lebat dengan Jabatan Meteorologi negara itu memberi amaran hujan lebat akan berterusan di lapan wilayah, memburukkan lagi keadaan banjir yang sudah kritikal selepas seminggu hujan tanpa henti di sana.

“Beberapa negeri pengeluar getah di Malaysia turut dilanda banjir akibat hujan berterusan,” katanya sambil menambah Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan rasmi China meningkat kepada 50.3 pada November, berbanding 50.1 dalam bacaan sebelumnya.

Peniaga itu juga berkata cadangan perubahan dasar pentadbiran Donald Trump, yang dirujuk sebagai Trumponomics 2.0 dijangka memberi manfaat yang ketara kepada ekonomi AS sambil mewujudkan cabaran untuk ekonomi global yang lain, menurut Bank of America (BofA).

“Pakej dasar ini yang menekankan perdagangan, imigresen, inisiatif fiskal dan pelonggaran peraturan, diramalkan meningkatkan pertumbuhan ekonomi AS, inflasi dan kadar faedah yang melebihi jangkaan konsensus semasa.

"Bagaimanapun, kesannya terhadap negara lain terutamanya China dan Zon Euro, dijangka kurang menguntungkan," katanya.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) naik sebanyak 14.0 sen pada 889.5 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 672.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 892.5 sen sekilogram dan lateks pukal berada pada 672.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan