PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA AKHIRI SESI DAGANGAN PAGI DENGAN PRESTASI TINGGI

04/12/2024 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi pada Rabu sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau, apabila pelabur terus membeli saham wajaran tinggi terpilih, didahului oleh kaunter utiliti.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 4.62 mata atau 0.29 peratus kepada 1,611.58 daripada 1,606.96 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka sedikit tinggi kepada 1,606.97 dan bergerak antara 1,606.53 hingga 1,615.15 sepanjang sesi pagi.

Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 608 berbanding 357, manakala 521 kaunter tidak berubah, 925 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.27 bilion unit, bernilai RM1.55 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan momentum meningkat dijangka berterusan dengan bermulanya tempoh aktiviti memperelok akaun memandangkan musim pelaporan prestasi kewangan telah berakhir.

“Memandangkan harga minyak mentah juga lebih tinggi dan pendapatan kukuh yang dicatatkan saham perladangan, kami menjangkakan wujudnya peluang dagangan dalam sektor perladangan.

“Dolar Amerika Syarikat (AS) diunjurkan lebih kukuh berikutan data pekerjaan yang positif, yang mungkin memberi manfaat kepada saham berorientasikan eksport seperti teknologi dan sarung tangan,” tambahnya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, seorang penganalisis berpendapat sentimen pembelian di pasaran tempatan dilihat meningkat susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan terus mengimbangi usaha mengukuhkan kedudukan fiskal di samping menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Anwar, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini, berkata agenda reformasi akan dilaksanakan secara lebih agresif tahun depan dengan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus.

Antara saham berwajaran, Maybank, Public Bank dan IHH masing-masing kekal mendatar pada RM10.18, RM4.51 dan RM7.22 manakala CIMB turun satu sen kepada RM8.20 dan Tenaga Nasional melonjak 22 sen kepada RM13.60.

Antara kaunter aktif, Zen Tech dan JCY International masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 48.5 sen, Top Glove menokok enam sen kepada RM1.23, Cape EMS naik setengah sen kepada 38 sen dan Reservoir Link menambah tiga sen kepada 37 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 74.41 mata kepada 12,306.62, Indeks FBMT 100 naik 70.05 mata kepada 11,991.04 dan Indeks FBM 70 melonjak 237.06 mata kepada 18,255.48.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 108.89 mata kepada 12,308.92, manakala Indeks FBM ACE naik 40.93 mata kepada 5,230.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 24.32 mata kepada 19,115.52, Indeks Perladangan naik 5.49 mata kepada 7,740.50 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 1.25 mata kepada 176.07 dan Indeks Tenaga meningkat 12.32 mata kepada 813.87.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan